Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

219) PUSAT KEBUDAYAAN MASYARAKAT KAUM CINA DAN INDIA

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Di manakah dan bilakah Pusat-pusat Kebudayaan Masyarakat Kaum Cina dan India akan beroperasi sepenuhnya di Negeri Selangor ini?

    Sehingga kini, perbincangan masih lagi dibuat bagi memilih lokasi yang sesuai bagi pembinaan Pusat Kebudayaan Cina Negeri Selangor. Namun, ia akan terletak di sekitar pesisir Sungai Klang bersama-sama dengan Pusat Kebudayaan Pelbagai Kaum yang lain.  Ini sebagai langkah memaju dan membangunkan pesisir Sungai Klang sebagai destinasi tarikan pelancong di samping menyemai rasa cinta terhadap sungai dan sistem-sistem saliran seumpamanya kepada masyarakat.    Pihak jawatankuasa telah melantik juruperunding bagi membuat kajian terperinci berkaitan kesesuaian tapak yang akan dipilih kelak.  Manakala bagi Pusat Kebudayaan India, sehingga kini masih belum dibincangkan secara terperinci bagi memberi laluan kepada pembinaan Pusat Kebudayaan Cina terlebih dahulu.

    Belum dapat dipastikan bilakah pelaksanaan, pembinaan dan operasi bagi Pusat Kebudayaan Cina Negeri Selangor ini dapat disempurnakan.  Ini kerana, pemilihan tapak dan reka bentuk projek berkenaan masih lagi di peringkat perbincangan jawatankuasa.  Ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana pelbagai aspek perlu diberikan perhatian terutama berkaitan kesesuaian tapak, penerimaan masyarakat setempat, kesesuaian reka bentuk, implikasi kewangan / peruntukan dan hal-hal lain yang berkaitan.  Selain itu, ia perlu dikemukakan ke peringkat tertinggi Kerajaan Negeri Selangor iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ( MMKN ) untuk pertimbangan dan kelulusan selanjutnya.

  2. Apakah ciri-ciri dan konsep Pusat-pusat Kebudayaan tersebut?

    Konsep bagi pengisian Pusat Kebudayaan ini meliputi barangan perniagaan, makanan, persembahan dan perkhidmatan yang berunsurkan kebudayaan sesuatu kaum di bawah satu bumbung. Para peniaga sebagai contohnya, akan dapat mempamerkan hasil perniagaan masing-masing seperti cenderamata, kraftangan, barangan antik, perkhidmatan dan rawatan tradisional, akupuntur, rumah teh cina, buah-buahan, galeri seni, restoran dan persembahan seni dan budaya. Melalui konsep ini, ia bukan sahaja sabagai pusat kebudayaan semata-mata, malah berperanan sebagai sumber rujukan, pendidikan dan pengembangan seni dan budaya sesuatu masyarakat terutama kepada golongan muda.

    Manakala dari sudut konsep seni bina ia akan meliputi pembinaan muzium, galeri seni, dataran dan pentas budaya, pintu gerbang, gerai jualan, restoran, kedai cenderamata dan kraf serta taman hiasan.  Kesemuanya meniti beratkan aspek seni bina dan landskap dari sesuatu kaum tersebut.

     

  3. Apakah kebaikan-kebaikan yang akan dinikmati oleh semua kaum daripada Pusat-pusat Kebudayaan Cina dan India tersebut?

    Pembinaan Pusat Kebudayaan Semua Kaum ini kelak dijangka akan memberi faedah dari aspek:-

    1. Pengembangan kesenian dan kebudayaan sesuatu kaum.
    2. Sumber dan lokasi rujukan utama berhubung nilai-nilai budaya masyarakat, asal usul, kesenian, kraftangan dan makanan.
    3. Menggalakkan pengembangan pendidikan dan pembelajaran di kalangan generasi muda tentang nilai dan budaya masyarakat.
    4. Sebagai pusat dan lokasi rekreasi keluarga yang bukan sekadar untuk beristirahat malah dapat menimba ilmu dan pengembangan minda yang sangat berguna.
    5. Tarikan utama kepada pelancong tempatan dan asing. Ini akan membantu memberikan lebih pilihan kepada pengunjung terhadap produk-produk pelancongan di negeri Selangor.  Malah secara tidak langsung menggalakkan pelancongan mengunjungi Selangor dan memperkenalkan Selangor sebagai hub-seni budaya terbaik.
    6. Membantu pembangunan ekonomi setempat melalui penglibatan pengusaha restoran, peniaga cenderahati dan kraftangan serta perniagaan-perniagaan berteraskan kesenian dan kebudayaan.
    7. Membantu mewujudkan rantaian kerjasama antara Kerajaan, sektor swasta dan masyarakat melalui penganjuran acara-acara kesenian dan kebudayaan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.