Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

33) PUSAT KEBUDAYAAN INDIA

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status pembangunan pusat kebudayaan India Negeri Selangor yang dicadangkan oleh mantan Dato' Menteri Besar Selangor pada tahun 2012?

    Sukacita dimaklumkan, Kerajaan Negeri tidak pernah menepikan kepentingan dan pembangunan sosial dan pemeliharaan adat serta kebudayaan mana-mana kaum di negeri Selangor. Adalah menjadi hasrat dan inspirasi Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan Pusat Kebudayaan Melayu, Cina dan India di Negeri Selangor ini dalam usaha menghargai dan memartabatkan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan yang harmoni dalam kalangan masyarakat.

    Perancangan asal adalah supaya pembangunan ketiga-tiga Pusat Kebudayaan Negeri Selangor ini selari dengan pengumuman pakej rangsangan pembangunan Sungai Klang yang akan menempatkan Pusat-pusat Kebudayaan Negeri Selangor ini di sepanjang Sungai Klang.

    Namun, semenjak pembangunan ini dicadangkan seawal tahun 2012 yang lalu terdapat banyak halangan dan kekangan bagi melaksanakan pembangunan Pusat Kebudayaan ini. Antara punca kekangan-kekangan ini adalah anggaran kos yang amat tinggi di mana ia dijangkakan akan menelan perbelanjaan sebanyak RM300 juta sehingga siap sepenuhnya. Pada masa yang sama proses pengambilan semula tanah di tapak-tapak yang dicadangkan dikhuatiri akan menjejaskan lanskap sosioekonomi dan demografi Bandar Klang sebagai Bandar Diraja yang perlu dijunjung dan dihormati. Ini adalah kerana kawasan yang dicadangkan turut melibatkan tanah komersial bernilai tinggi di samping kesan-kesan yang lain melibatkan faktor ekonomi dan sosial yang perlu diperhalusi dengan sewajarnya.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih tetap komited untuk membangunkan sebuah pusat kebudayaan yang bersepadu bagi Negeri Selangor. Oleh yang demikian, seperti yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020 yang lalu, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Kampung Budaya Selangor yang dapat menjadi pusat rujukan kepada sejarah, kebudayaan dan tradisi etnik-etnik yang terdapat di Selangor.

    Melalui projek Selangor Maritime Gateway (SMG), sebidang tanah seluas 35 ekar di tepi Sungai Klang yang terletak di tengah-tengah Bandar Klang telah dikenal pasti untuk pembangunan Kampung Budaya Selangor dan sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut yang dijangka akan mampu meningkatkan elemen tarikan kepada projek tersebut melalui inisiatif ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.