Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
45) PUSAT KEBUDAYAAN DAN WARISAN
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan pusat kebudayaan dan warisan di daerah Kuala Selangor memandangkan kepelbagaian aset dan produk warisan sejarah terdapat di daerah ini?
Izinkan saya menjawab kedua-dua soalan ini secara bersama. Kuala Selangor merupakan pusat pentadbiran pertama kerajaan Selangor yang telah wujud kira-kira pada abad ke-16 dan merupakan salah satu pusat perdagangan terpenting pada abad ke-17 di Tanah Melayu ketika itu selepas pelabuhan Melaka. Berkeluasan kira-kira 117,844 hektar menjadikan Kuala Selangor daerah kedua terbesar di Negeri Selangor.
Terdapat beberapa bukit di daerah Kuala Selangor yang amat signifikan dengan sejarah Kuala Selangor iaitu Bukit Malawati, Bukit Tanjung Keramat, Bukit Hospital, Bukit Permatang, Bukit Jeram dan Bukit Belimbing.
Berdasarkan kepentingan nilai sejarah kawasan ini terutamanya Bukit Malawati, pihak Kerajaan Negeri melalui Stanco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan sememangnya mempunyai perancangan untuk mewujudkan pusat kraftangan di puncak Bukit Malawati dan antara cadangan lokasi adalah di kuarters lama jurutera JKR Kuala Selangor. Perancangan ini walau bagaimanapun masih di peringkat cadangan awal dan penelitian perlu dilakukan dari segi pembangunan kertas konsep, reka bentuk dan jumlah peruntukan yang diperlukan.
Manakala Laman Budaya yang terletak berdekatan Muzium Permainan Tradisional Rakyat boleh dijadikan sebagai tempat untuk mengadakan persembahan kebudayaan bagi tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Sementara itu, Galeri Malawati akan mempamerkan flora dan fauna di Kuala Selangor dan juga pameran lukisan 3D, bertemakan lagenda dan sejarah bukit Malawati.
Dari segi peruntukan, pihak PADAT telah pun menghantarkan permohonan kepada MOTAC bagi mendapatkan peruntukan RM Ke-12 bagi tahun 2023 sebanyak RM700,000.00 bagi menaik taraf bangunan ini dan perkara ini masih menunggu jawapan daripada pihak MOTAC.
Berkenaan pemuliharaan warisan dan sejarah di Kuala Selangor, Bukit Malawati telah diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976 pada 8 September 1977 dan 28 Jun 1979 dan telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Kota Malawati juga mengandungi beberapa elemen warisan ketara yang lain meliputi aspek warisan ketara bangunan/monumen seperti mana berikut:
a) Kota Malawati;
b) Perigi Beracun;
c) Batu Hampar;
d) Telaga Tujuh;
e) Tangga Seratus;
f) Busut Malawati.Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) juga telah membuat cadangan pemajuan yang komprehensif merangkumi perancangan fizikal dan spatial bagi tujuan perlaksanaan segera serta menepati aspirasi pembangunan Daerah Kuala Selangor di dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor 2025. Kota Malawati, Bukit Malawati Kuala Selangor merupakan lokaliti utama dalam Pelan Komponen Pembangunan yang dicadangkan.
Pengukuhan imej warisan bandar di Bandar Lama Kuala Selangor juga akan dirancangkan selaras dengan kepentingan lokasinya di kaki Bukit Malawati, menjadi pintu masuk yang penting serta menawarkan perkhidmatan kepada pelancong. Oleh itu, memelihara fasad bangunan warisan seperti pemasangan papan tanda dan iklan, ‘plague’ dan mengecat semula bangunan perlu dijalankan bagi tujuan mengembalikan imej tapak warisan.
Penyediaan RKK (Rancangan Kawasan Khas) ini adalah merupakan instrument atau ‘planning tools’ yang bertujuan untuk menyusun dan menambah baik dan menjadi panduan perancangan bagi kawasan yang dikenal pasti. Di dalam menyediakan RKK (Rancangan Kawasan Khas) ini pelbagai aspek dikaji secara bersepadu dengan mengambil kira pemilik terlibat, kaedah perlaksanaan, kewangan, projek penambahbaikan sedia ada atau projek baru, halangan-halangan, kesan dan agensi pelaksana.
Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor Ke Arah melestarikan Eko-Pelancongan, Warisan & Sejarah telah mengenal pasti anggaran kos awal dan telah mencadangkan beberapa strategi dan perancangan antaranya seperti berikut:
(1) Penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan Tapak Warisan Termaktub didalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Seksyen 46 (1). Tujuan pelan pengurusan pemuliharaan adalah untuk memastikan pengurusan wajar ke atas tapak warisan Bukit Malawati dan Bukit Tanjung Keramat dan kawasan-kawasan yang telah ditetapkan di bawah penjagaan warisan. Ini termasuklah langkah-langkah menjaga, memulihara, memperelokkan kawasan, menggalakkan pendidikan, cadangan pembangunan dan penggalakan pertumbuhan ekonomi.
Anggaran Kos Pembangunan: RM500,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, MOTAC, UPEN, MPKS(2) Pembangunan Rangkaian Jejak Warisan – Bukit Malawati, Kota Tanjung Keramat dan Pekan Lama Kuala Selangor.
Anggaran Kos Pembangunan: RM200,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, MOTAC, UPEN, MPKS(3) Pembinaan Panel Informasi Jejak Warisan.
Setiap panel dirancang dan direka bentuk interpretasi yang hendak disampaikan. Kandungan penceritaan atau story telling disusun dalam peta atau pelan jejak warisan yang menunjukkan lokasi tapak warisan, tarikan sepanjang jejak atau trail dan lokasi kedudukan pelawat.
Anggaran Kos Pembangunan: RM1,500,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, Arkib Negara Malaysia(4) Pemuliharaan Monumen Warisan di Bukit Malawati, Kuala Selangor
Anggaran Kos Pembangunan: RM500,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, Arkib Negara Malaysia(5) Pembinaan Pintu Gerbang Kota di Laluan Tangga Seratus
Anggaran Kos Pembangunan: RM 200,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, MOTAC(6) Pemuliharaan dan Penyesuaian Guna Semula Bangunan di Bukit Malawati sebagai Tarikan Pelancong
Anggaran Kos Pembangunan: RM 10,000,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JWN, UPEN, JKR(7) Menaik Taraf Pengisian Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor
Anggaran Kos Pembangunan: RM 1,500,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, JMM, MOTAC, UPEN(8) Promosi Pelancongan di Bukit Malawati bersama MPKS
Anggaran Kos Pembangunan: RM 10,000.00
Agensi yang terlibat: PADAT, MPKS, UPEN. -
Berapakah peruntukan yang disediakan bagi tujuan ini serta pemuliharaan warisan dan sejarah didaerah Kuala Selangor?
Jawapan adalah sama seperti di atas (a)