Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
325) PUSAT KAUNSELING SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri untuk menyediakan akses perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi kepada golongan miskin bandar yang terkesan dengan tekanan hidup?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, ke arah membantu kesejahteraan psikologi rakyat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa komited untuk memastikan kesihatan mental rakyat Selangor terpelihara. Ke arah itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah menyediakan perkhidmatan psikologi kaunseling yang dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi di premis-premis kesihatan di setiap daerah di negeri Selangor. Capaian perkhidmatan psikologi kaunseling ini meliputi perkhidmatan psikologi kaunseling di klinik-klinik di semua daerah dan beberapa hospital utama antaranya Hospital Shah Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Sungai Buloh, Hospital Sultan Idris Shah, Hospital Banting, Hospital Ampang, Hospital Kajang dan Hospital Selayang. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah sesi kaunseling individu, kelompok dan keluarga, saringan kesihatan mental serta program komuniti berkaitan kesedaran kesihatan mental kepada masyarakat.
Selain daripada itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ada menyediakan beberapa perkhidmatan bagi perkara ini, antaranya:
- Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial atau dikenali sebagai Talian HEAL 15555 yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH). Talian HEAL yang boleh dihubungi dengan mendail nombor 1555 telah diwujudkan sejak 21 Oktober 2022 dan dibuka setiap hari, jam 8 pagi hingga 12 tengah malam termasuk cuti umum. Talian ini adalah perkhidmatan yang memberi respon terhadap panggilan dan aduan krisis berkaitan kesihatan mental, tingkah laku bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain serta panggilan tindak susul (post-intervention) dan follow-up di komuniti.
- NHSI (National Health Screening Initiative) adalah satu saringan kesihatan asas secara percuma yang di sediakan di semua Klinik Kesihatan di mana terdapat Saringan Kesihatan Mental mental (saringan Wholey dan GAD-2 dalam kalangan klien berisiko di Jabatan Pesakit Luar).
- Aplikasi MyMinda MySejahtera (projek rintis KKM di 3 negeri) sedang dilaksanakan dimana semua yang terkesan boleh membuat saringan menggunakan Modul MyMinda di dalam Aplikasi MySejahtera di mana disediakan modul saringan, modul video kesihatan mental dan slot temujanji di Klinik Kesihatan.
- Memperkasa/ Kebolehcapaian Perkhidmatan Kesihatan Mental bersama agensi lain melalui Hub Kesihatan Mental di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) oleh Kerajaan Negeri Selangor:
- Perkhidmatan kaunseling secara fizikal ini dibuat secara berjadual yang dirancang bersama dengan pihak SUK, LPPKN dan JKNS.
- Ianya masih dalam peringkat perbincangan pelaksanaan sebabkan oleh jumlah kaunselor yang sangat minimum di setiap PKD (1- 2 orang sahaja, contract basis) dan beban pesakit yang semakin ramai menyebabkan masa menunggu temujanji kaunseling yang panjang.
- PKM merupakan pusat yang lebih sesuai untuk penyelesaian isu terutamanya yang berkaitan sosioekonomi dan ianya mudah diakses oleh orang awam.
- Guna sama slot kaunseling yang ditawarkan oleh LPPKN, untuk memberi pilihan dalam perkhidmatan kaunseling yang lebih sesuai kepada klien/ orang awam yang memerlukan.