Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

82) PUSAT DIALISIS MESRA SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pembangunan Pusat Dialisis Mesra Selangor, adakah ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan?

    Terdapat satu pusat Dialisis Mesra Selangor yang terletak di Sementa, Klang dan diuruskan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Gedung Penawar Sdn. Bhd. Pembiayaan pusat dialisis ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut dan tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

  2. Nyatakan jumlah pesakit dan peruntukan diagih kepada Pusat Dialisis Rakyat yang telah beroperasi sejak 2010.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Pusat Dialisis Rakyat (PDR) ditubuhkan pada tahun 2009 selari dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk menyediakan pusat perkhidmatan dialisis yang terbaik dan berkualiti bagi rakyat Negeri Selangor. Jumlah pesakit yang telah didaftarkan di bawah program PDR bermula pada tahun 2009 sehingga Mac 2014 adalah seramai 431 orang dan tiada sebarang peruntukan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi pengoperasian PDR. Program PDR ini dijenamakan semula kepada Panel Dialisis Sihat Selangor (PDSS) pada tahun 2014 dan seterusnya ditambahbaik menjadi Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) pada tahun 2015 sehingga kini.

  3. Apakah jenis bantuan yang boleh didapatkan oleh pesakit dialisis bawah Kerajaan Selangor?

    Rakyat Negeri Selangor yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan rawatan dialisis boleh memohon bantuan rawatan dialisis melalui Program Bantuan Sihat Selangor (BSS). Melalui Program BSS, pesakit yang layak akan menerima bantuan rawatan dialisis berjumlah sehingga RM5,000 di panel pusat rawatan dialisis. Syarat utama bagi bantuan rawatan dialisis di bawah Program BSS adalah lahir di Negeri Selangor atau bermastautin melebihi 10 tahun dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan. Untuk permohonan dan maklumat lanjut mengenai Program BSS, pemohon boleh melayari laman sesawang https://bantuansihat.selangor.gov.my/.

    Untuk makluman Yang Berhormat, manfaat rawatan dialisis ini akan diselaras dan diletakkan di bawah Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) bermula pada suku pertama tahun 2025. Melalui penyelarasan ini, penerima manfaat rawatan dialisis akan menerima bantuan rawatan sehingga RM10,000. Ini secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada pesakit melalui peningkatan jumlah bantuan rawatan yang diberikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.