Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

50) PUSAT DATA, TAMBAHAN ELEKTRIK

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Dengan peningkatan pusat data, penggunaan tenaga juga meningkat secara mendadak. Apakah langkah kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Selangor mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi, dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar?

    Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor telah mengadakan ‘Focus Group Discussion’ pada tahun 2024 bagi membincangkan tentang pelaburan pusat data di Selangor. Hasil perbincangan tersebut, kerajaan Negeri telah mendapatkan unjuran kemasukan pelaburan pusat data di Selangor dalam tempoh 10-15 tahun. Turut dikenalpasti adalah penggunaan tenaga elektrik dan air dalam tempoh yang disebutkan.

    Data yang diperolehi telah dibawa kepada perhatian agensi-agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, PLAN Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor. Agensi-agensi tersebut telah memberikan ulasan bahawa Selangor mempunyai kemampuan untuk membekalkan tenaga elektrik dan air yang mencukupi bagi keperluan pusat data bagi tempoh yang disebutkan. Pihak Tenaga Nasional Berhad memaklumkan bahawa pada masa ini, bekalan elektrik sedia ada di Malaysia mempunyai rizab kapasiti bekalan elektrik yang mencukupi untuk menampung keperluan tenaga elektrik untuk pembangunan pusat data termasuk keperluan di Negeri Selangor.

    Bagi menguruskan cadangan pelaburan yang melibatkan cadangan projek – projek ‘hyperscaler’  seperti pusat data dan sebagainya yang mana memerlukan tenaga elektrik dan air yang tinggi serta keluasan tanah yang besar, mesyuarat pra-pelaburan (pre-coordination meeting) bagi penyelarasan projek akan diadakan. Mesyuarat ini yang lazimnya disertai oleh agensi-agensi teknikal berkaitan akan membincangkan keperluan operator pusat data dan kesediaan infrastruktur, utiliti dan sebagainya di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti. Agensi-agensi akan menyuarakan pandangan dan memberikan ulasan awal terhadap projek yang turut mengambilkira keperluan penduduk sekitar, pembangunan lain yang berdekatan, kesan terhadap alam sekitar dan sebagainya. Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan projek pusat data ini tidak mengganggu gugat keperluan penduduk setempat dan pembangunan di kawasan tersebut.

    Selain itu, pihak Kerajaan Negeri melalui PlanMalaysia mengguna pakai Garis Panduan Perancangan Pusat Data sebagai panduan dan rujukan yang seragam kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi – agensi yang terlibat untuk menyelaras dan memantau perancangan pembangunan pusat data.

     

    Garis panduan ini menyediakan panduan untuk merancang dan mengawal skala pemajuan pusat data yang melebihi satu mega volt Amp (MVA) di kawasan baharu atau di bangunan sedia ada. Selain itu, garis panduan ini juga turut menyentuh berkenaan panduan perancangan tapak pusat data, garis panduan umum dan khusus perancangan pembangunan pusat data serta memperjelaskan prosedur permohonan pemajuan bagi kebenaran merancang dan pelan bangunan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam proses untuk mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Selangor untuk memudahcara dan menyelaras pembangunan pusat data di Negeri Selangor. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai one-stop center untuk memudahcara proses kelulusan, memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan, kelestarian alam sekitar dan penggunaan tenaga secara cekap. Jawatankuasa ini kelak akan berperanan sebagai fasilitator kepada agensi penyedia infrastruktur dalam memaklumkan keperluan serta pematuhan yang wajib dipenuhi oleh pemaju/penggerak projek bagi memastikan pembangunan pusat data selaras dengan piawaian yang ditetapkan. Ini termasuk aspek kritikal seperti bekalan elektrik yang stabil, sistem penyejukan yang berkesan dan sambungan internet yang mematuhi standard operasi.

    Inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri ini secara langsung dapat menggalakkan pelaburan pusat data yang peka terhadap alam sekitar sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.