Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
228) PUSAT DATA DAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan respon dan mengimbangi permintaan pembangunan Pusat Data yang semakin berkembang?
Pusat data merupakan salah satu subsektor kepada sektor ekonomi digital. Seperti sedia maklum, ekonomi digital adalah antara 8 sektor fokus yang menjadi fokus Rancangan Selangor Pertama di bawah tema ekonomi. Ini bermakna kerajaan Negeri juga harus menumpukan sektor-sektor lain yang tersenarai di dalam Rancangan Selangor Pertama.
Dari sudut promosi pelaburan, kerajaan Negeri seringkali mempromosikan kesemua 8 kluster utama dengan mengetengahkan kelebihan yang ada di Selangor seperti infrastruktur serba lengkap, penghasilan graduan berkualiti yang banyak melalui institusi pendidikan berprestij dan sebagainya. Kelebihan yang ada di Selangor menjadikan ia bukan sahaja destinasi pelaburan yang menarik bagi pusat data malah sektor-sektor lain yang tersenarai dalam Rancangan Selangor Pertama.
Dari segi keutamaan yang diberikan dalam usaha untuk menjayakan projek, kerajaan Negeri menilai sesuatu projek itu berdasarkan metrik tertentu seperti nilai pelaburan, jumlah peluang pekerjaan yang disediakan, nilai tambah kepada ekosistem perniagaan dalam industri, limpahan ekonomi terhadap rakyat Selangor dan sebagainya. Penilaian menyeluruh ini menyimpulkan bahawa kerajaan Negeri tidak hanya tertumpu kepada satu industri. Hal ini penting bagi mengimbangi permintaan dari pelbagai industri.
Tidak dinafikan bahawa terdapat permintaan yang tinggi dari pelaburan pusat data di Selangor. Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor telah mengadakan ‘Focus Group Discussion’ pada tahun 2024 bagi membincangkan tentang pelaburan pusat data di Selangor. Data yang diperolehi telah dibawa kepada perhatian agensi-agensi berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor. Agensi-agensi tersebut telah memberikan ulasan bahawa Selangor mempunyai kemampuan untuk membekalkan tenaga elektrik dan air yang mencukupi bagi keperluan pusat data dan bagi tempoh 10-15 tahun. Hal ini juga mengambilkira pembangunan dalam sektor-sektor lain yang tersenarai dalam Rancangan Selangor Pertama.
-
Adakah kerajaan akan mengawal pelaburan baru dalam Industri Semikonduktor dan Pusat Data supaya ia memenuhi permintaan yang diperlukan tanpa menjejaskan aspek lain seperti alam sekitar?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk mengimbangi pertumbuhan industri dengan perlindungan alam sekitar, di mana setiap pelaburan baru dan pelaburan semula (re-investment) di Negeri Selangor adalah diwajibkan untuk menjalani Penilaian Awal Tapak (PAT) dan memenuhi semua ketetapan dan regulasi yang dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar. PAT adalah proses bagi memastikan tapak cadangan bagi projek perindustrian baru adalah dinilai dan disaring pada tahap awal sebelum permohonan kebenaran mendirikan bangunan atau malahan sebelum pembelian tanah. Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) akan menilai tapak cadangan samada bersesuaian bagi cadangan pembangunan perindustrian tertentu. PAT juga merupakan salah satu dokumen wajib yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan ketika cadangan pembangunan / cadangan pemajuan dikemukakan kepada OSC bagi mendapatkan kelulusan untuk Kebenaran Mendirikan Bangunan