Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

180) PUSAT ASUHAN KANAK-KANAK DI PREMIS KERAJAAN DAN SWASTA

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan lebih banyak pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak di semua premis swasta dan kerajaan demi perkembangan sahsiah keluarga yang baik?

    Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai perancangan untuk mewujudkan lebih banyak pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak sama ada di premis swasta mahupun di bangunan kerajaan. Ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan Program Pengaktifan Penubuhan Taska Di Tempat Kerja Awam Peringkat Negeri Selangor yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor pada 1 November 2018 yang lalu di Shah Alam Convention Centre (SACC).

    Melalui program berkenaan, para peserta telah diberikan pendedahan, ilmu pengetahuan dan penerangan yang jelas berhubung kepentingan dan keperluan untuk menubuhkan dan melaksanakan taska di tempat kerja berdasarkan peruntukan undang-undang kepada semua Agensi Kerajaan Awam Negeri dan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun di Negeri Selangor serta agensi lain yang turut terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pejabat Kesihatan Daerah.

    Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat dan arahan dari Timbalan Menteri Pembangunan, Kebajikan Wanita dan Masyarakat untuk menyediakan Taska Tempat Kerja yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 di semua agensi kerajaan dan swasta di Negeri Selangor. Secara tidak langsung, penubuhan taska ini dapat menggalakkan terutama golongan wanita yang bekeluarga untuk bekerja dan menyumbangkan tenaga serta idea dan kemahirannya secara produktif dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan negara serta perkembangan sahsiah keluarga yang baik dan sejahtera.

Lampiran

Tiada Lampiran.