Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
49) PUSAT ASUHAN KANAK-KANAK
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pusat asuhan kanak-kanak yang berlesen di Selangor mengikut PBT.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertimbangkan permohonan pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mengikut daerah di mana TASKA berkenaan beroperasi. Jumlah TASKA berdaftar mengikut daerah di Negeri Selangor adalah seperti berikut:
BIL. DAERAH BIL. TASKA 1. Petaling 347 2. Klang 93 3. Hulu Langat 226 4. Gombak 129 5. Sepang 90 6. Kuala Selangor 41 7. Hulu Selangor 88 8. Kuala Langat 76 9. Sabak Bernam 11 JUMLAH 1,011 Jadual 1: Jumlah TASKA Berdaftar Di Negeri Selangor Sehingga Mulai 2013 hingga Julai 2018
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri memastikan setiap pusat tersebut mematuhi peraturan ditetapkan?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor berperanan untuk memastikan setiap Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA mematuhi peraturan yang ditetapkan:
- Pemantauan dan lawatan ke atas TASKA akan dilakukan sebanyak 2 kali setahun oleh Pegawai Diberi Kuasa (PDBK). PDBK akan mengemukakan Laporan Pemantauan dan akan membuat teguran jika terdapat sebarang ketidakpatuhan di dalam pengurusan TASKA berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak- Kanak 2012.
- Mana-mana pengusaha yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 ini boleh diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara tindakan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap TASKA adalah arahan bertulis, tutup sementara, kompaun, pendakwaan, pembatalan perakuan dan lak. Sepanjang tahun 2017, sebanyak 69 tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri Selangor terhadap TASKA berdaftar dan tidak berdaftar yang merangkumi 4 kes pendakwaan, 5 kes lak, 6 kes kompaun, 2 kes tutup, 15 kes Arahan Bertulis dan 37 kes Batal
-
Nyatakan jumlah lesen yang ditarik semula dan sebabnya.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi tempoh Januari hingga Julai 2018, sebanyak 22 perakuan TASKA telah dibatalkan. Berikut merupakan sebab pembatalan perakuan TASKA:
- Jika terdapat apa-apa pelanggaran atau ketidakpatuhan kepada mana-mana syarat yang dikenakan berhubung dengan apa-apa pendaftaran yang dibuat di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984;
- Jika Pengendali pusat jagaan telah disabitkan atas kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 atau kesalahan yang melibatkan Fraud atau keburukan akhlak;
- Jika pengendali yang memohon supaya pendaftaran dibatalkan akibat daripada penutupan operasi premis; dan
- Jika PDBK mendapati TASKA tidak wujud lagi atau memberhentikan pengoperasian sebagai TASKA.