Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
17) PUSAT ASUHAN KANAK-KANAK
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pusat asuhan kanak-kanak yang berlesen di Selangor mengikut PBT.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertimbangkan permohonan pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mengikut daerah di mana TASKA berkenaan beroperasi. Jumlah TASKA berdaftar mengikut daerah di Negeri Selangor adalah seperti berikut:
BIL. DAERAH BIL. TASKA Petaling 347 Klang 93 Hulu Langat 226 Gombak 129 Sepang 90 Kuala Selangor 41 Hulu Selangor 88 Kuala Langat 76 Sabak Bernam 11 JUMLAH 1,011 Jadual 1: Jumlah TASKA Berdaftar Di Negeri Selangor Sehingga Mulai 2013 hingga Oktober 2018
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri memastikan setiap pusat tersebut mematuhi peraturan ditetapkan?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor berperanan untuk memastikan setiap Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA mematuhi peraturan yang ditetapkan:
- Pemantauan dan lawatan ke atas TASKA akan dilakukan sebanyak 2 kali setahun oleh Pegawai Diberi Kuasa (PDBK). PDBK akan mengemukakan Laporan Pemantauan dan akan membuat teguran jika terdapat sebarang ketidakpatuhan di dalam pengurusan TASKA berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak
- Mana-mana pengusaha yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 ini boleh diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara tindakan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap TASKA adalah arahan bertulis, tutup sementara, kompaun, pendakwaan, pembatalan perakuan dan lak. Berikut adalah statistik tindakan penguatkuasaan yang telah diambil ke atas TASKA berdaftar dan tidak berdaftar:
Bil Jenis Tindakan Jumlah kes Tahun 2017 Jumlah kes sehingga Oktober 2018
1 Pendakwaan 4 2 2 Kompaun 6 5 3 Lak 5 3 4 Arahan Bertulis 15 1 5 Arahan Tutup Sementara 2 – 6 Batal Perakuan 37 33 JUMLAH 69 44 -
Nyatakan jumlah lesen yang ditarik semula dan sebabnya.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2018, sebanyak 33 perakuan TASKA telah dibatalkan. Berikut merupakan sebab pembatalan perakuan TASKA:
- Jika terdapat apa-apa pelanggaran atau ketidakpatuhan kepada mana- mana syarat yang dikenakan berhubung dengan apa-apa pendaftaran yang dibuat di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984;
- Jika Pengendali pusat jagaan telah disabitkan atas kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 atau kesalahan yang melibatkan Fraud atau keburukan akhlak;
- Jika pengendali yang memohon supaya pendaftaran dibatalkan akibat daripada penutupan operasi premis; dan
- Jika PDBK mendapati TASKA tidak wujud lagi atau memberhentikan pengoperasian sebagai TASKA.