Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

51) PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS (PAWE)

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kebaikan menukar sesebuah dewan komuniti biasa kepada Pusat Aktiviti Warga Emas? Apakah jenis dana ataupun peruntukan yang akan diperolehi sekiranya PAWE dibuka?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) merupakan tempat bagi warga emas menjalankan program dan aktiviti harian di dalam komuniti. Ianya merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan komuniti setempat.

    Kriteria penubuhan sesebuah PAWE adalah perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:

    • Bilangan warga emas yang ramai dan berminat untuk menjalankan aktiviti di dalam sesebuah komuniti;
    • Lokasi premis yang strategik dan mudah diakses oleh warga emas dan orang awam. Ianya juga biasanya berhampiran dengan kemudahan awam;
    • Premis yang dipilih hendaklah mesra warga emas dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan seperti bangunan kerajaan, premis swasta, kuarters, balairaya dan sebagainya;
    • Komuniti penggerak yang mempunyai minat dan komitmen dalam mengendalikan warga emas seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, persatuan, komuniti setempat atau agensi swasta yang akan menjadi tulang belakang terhadap pelaksanaan PAWE; dan
    • Mendapat sokongan terlebih dahulu daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat/ Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi membolehkan proses permohonan dibuat.

    Permohonan penubuhan PAWE sekiranya diluluskan oleh Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat bakal menerima geran penubuhan untuk pembaikian premis dan pembelian peralatan sebanyak RM80,000 secara one-off  dan geran pengoperasian sebanyak RM33,330 untuk tempoh 12 bulan.  Sehubungan dengan itu, jika bangunan dewan komuniti ditukar kepada PAWE akan dapat dibaik pulih untuk kegunaan warga emas dan komuniti.

    Pertubuhan/ Persatuan/ Kelab atau mana-mana organisasi PAWE perlu menandatangani Perjanjian Bantuan Kewangan Pengoperasian PAWE bagi memastikan pengurusan kewangan dikendalikan mengikut tatacara dan mekanisme pelaporan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

  2. Apakah jenis-jenis bangunan yang telah dijadikan sebagai Pusat Aktiviti Warga Emas? Adakah kebanyakan daripada bangunan dimiliki oleh Kerajaan Tempatan?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sehingga akhir Februari 2019 sebanyak 10 PAWE telah ditubuhkan di Negeri Selangor dan beroperasi di bangunan seperti berikut:

    BIL. NAMA PAWE ALAMAT JENIS BANGUNAN
    1. PAWE Jenjarom Lorong 21, Jalan Sekolah,

    Kg. Baru Jenjarom,
    42600 Jenjarom,

    Kuala Langat, Selangor.

    Bangunan dibina khas untuk pembinaan PAWE pada tahun 2002
    2. PAWE Sabak Bernam Jalan Parit 1 Timur,
    45300 Sungai Besar,
    Selangor.
    Bangunan dibina khas untuk pembinaan PAWE pada tahun 2002
    3. PAWE Sungai Buloh Kompleks Penyayang BAKTI

    Jalan Meranti, SD 13/4

    Off Persiaran Meranti,

    Bandar Sri Damansara,
    52200 Petaling,
    Selangor.

    Sebuah bangunan rumah di dalam kawasan Kompleks Penyayang Bakti Sungai Buloh
    4. PAWE Taman Sri Kantan, Hulu Langat Jalan 4, Taman Sri Kantan

    43000 Kajang,

    Selangor.

    Sebuah bangunan  bekas balairaya
    5. PAWE Kg. Sri Langkas Tambahan,

    Subang Jaya

    Lot 93, Kampung Sri Langkas Tambahan, Batu 13,

    47100 Puchong,

    Selangor

    Sebuah bangunan bekas Dewan Orang Ramai
    6. PAWE Kg. Kenanga

    Gombak

    d/a No 2, Jln Ros Kg Kenanga,

    48000 Rawang,

    Selangor .

    Bekas bangunan  JKKK
    7. PAWE Sepang

     

    Lot 2835, Jalan Seri Jaya

    Kampung Hulu Chuchoh

    43950 Sungai Pelek

    Sepang,

    Selangor.

    Bangunan kediaman jenis   milik persendirian yang diberikan kebenaran untuk aktiviti PAWE
    8. PAWE FELDA Bukit Cherakah, Klang Jalan 9, Felda Bukit Cerakah

    42200 Kapar,

    Selangor.

    Bekas bangunan Koperasi
    9. PAWE Kampung Telok Menegon Klang

     

    Batu 3, Jalan Kota Raja,

    Kampung Telok Menegon,

    Seksyen 36,

    40460 Shah Alam.

    Bangunan bekas Sekolah Agama.
    10. PAWE Subang Jaya

     

    40, Jalan USJ 6/6K

    47610 Subang Jaya

    Selangor.

    Bangunan kediaman lot tepi milik Kelab Warga Emas Subang Jaya

     

    Sehingga kini, hanya 3 buah PAWE menggunakan bangunan yang dimiliki oleh Kerajaan Tempatan dan dibaik pulih dengan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan

  3. Siapakah yang akan bertanggungjawab memiliki serta mengendalikan PAWE yang dibuka?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, tanggungjawab mengendalikan PAWE adalah di bawah Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Pertubuhan/ Persatuan/ Kelab atau mana-mana organisasi PAWE yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Jawatankuasa ini berfungsi sebagai:

    • bertanggungjawab bagi pengurusan dan pentadbiran PAWE
    • merancang, mengawal selia dan melaporkan pengurusan kewangan dengan cekap, teratur dan amanah;
    • menyelesaikan apa-apa isu atau pertelingkahan yang mungkin berbangkit di dalam sesebuah Jawatankuasa atau di PAWE;
    • mematuhi apa-apa arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat; danmelaksanakan apa-apa fungsi lain yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

    Segala urusan PAWE adalah tertakluk kepada Garis Panduan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pindaan 2018 yang mula berkuatkasa pada 1 Januari 2019.

Lampiran

Tiada Lampiran.