Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

298) PUSAT ADAPTASI PERUBAHAN IKLIM SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status berkenaan dengan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kini sedang giat menyediakan kerangka konsep penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim bagi penyediaan kertas penubuhan Pusat berkenaan akan dimuktamadkan diperingkat Negeri dijangka pada suku tahun kedua tahun 2024. Antara tindakan yang sedang dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    • Menjalankan kajian/tinjauan dengan beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Johor yang mempunyai agensi pelaksana seumpama ini; dan
    • Bekerjasama dari aspek perkongsian idea, maklumat dan struktur penubuhan dengan agensi Kerajaan seperti Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
  2. Berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor?

    Dalam pengumuman Belanjawan Negeri Selangor 2024, sebanyak RM800,000 telah diperuntukkan bagi penubuhan awal Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor. Jumlah ini merangkumi aspek-aspek keperluan seperti perancangan dan proses penubuhan, kajian kebolehlaksanaan, penganjuran lawatan penanda aras/bengkel dan Focus Group Discussion.

     

  3. Apakah inisiatif yang akan dilakukan oleh Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor bagi membantu menangani perubahan iklim di negeri ini?

    Cadangan inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    (i) Pusat ini akan menyelaras program/projek hijau yang lebih holistik ke arah pengurangan karbon;

    (ii) Berperanan untuk menyelaras dan melaksanakan program/inisiatif mengikut perancangan tahunan, dasar dan garis panduan yang ditetapkan;

    (iii) Mempromosi, meningkatkan pemahaman dan kesedaran awam, pendidikan serta memupuk minat dalam memperkasakan gaya hidup lestari dan mampan di pelbagai peringkat dan sektor;

    (iv) Penggerak inisiatif dalam pasaran karbon kredit; dan

    (v) Menyelaras dasar diperingkat negara, negeri dan tempatan selaras dengan penekanan konsep Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

Lampiran

Tiada Lampiran.