Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012
190) PULANGAN PELABURAN JANGKA PANJANG
Tahun: 2012
Sesi: 3
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011, pulangan bagi pelaburan jangka panjang Negeri Selangor untuk lima tahun ini adalah kurang memuaskan. Bertanya kepada Y.A.B. DATO' Menteri Besar:- a) Apakah penjelasan Kerajaan Negeri Selangor dan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ini?
Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri terdiri daripada wang tunai dan pelaburan. Kesemua aset yang berbentuk tunai dilaburkan di dalam Pelaburan Instrumen Pasaran Wang Jangka Pendek yang menawarkan kadar faedah yang tertinggi. Selain itu, pelaburan yang di pegang bagi Kumpulanwang Disatukan terdiri daripada Pelaburan Kumpulan wang Amanah dan Pelaburan Am. Saham dan syer yang dipegang oleh Kerajaan di dalam Pelaburan Am merupakan saham dan syer Anak Syarikat Kerajaan Negeri sahaja. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri tiada membuat pelaburan yang khusus bagi pelaburan jangka panjang seperti saham, pelaburan hartanah, pelaburan unit amanah atau melabur di dalam terbitan bon.
Bagi pelaburan Kerajaan Negeri ke atas anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 20 April 2011 telah meluluskan sumbangan sebanyak 2% daripada untung bersih sebelum cukai (Net Profit Before Tax) pada setiap tahun kepada Tabung Warisan Negeri Selangor (TWNS). Sumbangan dikenakan hanya ke atas Badan – Badan Berkanun/Anak – Anak Syarikat Kerajaan Negeri yang berorientasikan keuntungan dan juga yang berpotensi menjana keuntungan pada tahun kewangan semasa seperti PNSB, KDEB dan KSSB.
Sehubungan itu, walaupun tiada sumbangan secara langsung diberikan oleh anak-anak syarikat kepada Kerajaan Negeri, mereka turut menyumbang dalam bentuk lain seperti sumbangan kepada TWNS dan juga projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Selain itu, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri kebanyakannya tidak berorientasikan keuntungan dan ada yang tidak mencatatkan keuntungan pada tahun semasa.