Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
5) PROSES PENSIJILAN HALAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Selangor bagi mempercepat proses pensijilan halal bagi syarikat baru?
JAIS telah mengambil beberapa langkah mempercepatkan proses pensijilan halal di Negeri Selangor seperti berikut:
1.Melaksanakan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM 2.0):
ISPHM 2.0 dilaksanakan mulai bulan November 2023. Permohonan sijil halal yang memenuhi kriteria yang ditetapkan melalui ISPHM 2.0, telah berjaya mempercepatkan proses kelulusan sijil halal dalam tempoh kurang daripada 30 hari berbanding tempoh 60 hari sebelum ini.
2. Menambah Bilangan Auditor Halal:
JAIS telah menambah bilangan auditor melalui peruntukan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
3. Meningkatkan Sesi Bimbingan Pensijilan Halal:
Melalui pelaksanaan program latihan berkala yang diadakan secara kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk agensi pembimbing usahawan dapat membantu pemohon memahami dan mematuhi syarat-syarat pensijilan halal, serta dapat membantu kelancaran proses permohonan tanpa perlu ditolak atau perlu diperbaiki berulang kali.
4. Membangunkan Sistem Certificate Readiness Assessment (CRA):
Kerajaan Negeri melalui HIS Toyyiba Sdn Bhd telah membangunkan sistem Certificate Readiness Assessment (CRA) bagi membantu pemohon membuat persediaan sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Melalui CRA juga dijangka akan mengurangkan risiko permohonan SPHM yang ditolak/ tidak lulus kerana tidak memenuhi syarat pensijilan.
-
Berapa bilangan pemegang sijil halal sedia ada dan yang dijangka mendapat manfaat dari sistem CRA baru?
Bilangan pemegang sijil halal aktif di negeri Selangor sehingga 30 Oktober 2024 adalah sebanyak 7,300 melibatkan 2,705 syarikat perniagaan.
Pengenalan Sistem CRA oleh syarikat HIS Toyyiba Sdn. Bhd. dijangka membantu meningkatkan kelulusan sijil halal dengan anggaran sehingga 500 sijil setahun.
-
Bagaimana Selangor meningkatkan daya saing global sektor halal melalui inovasi dan teknologi?
Bagi meningkatkan daya saing global sektor halal, Kerajaan Negeri melalui HIS Toyyiba Sdn. Bhd. telah melaksanakan pelbagai inovasi teknologi melalui:
1.Pembangunan Pangkalan Data Ramuan Halal.
Fokus kepada ramuan halal bagi data halal dalam Central Information Platform (CIP). Secara tidak langsung, ia akan membantu kecekapan semakan dokumen serta bahan mentah halal di dalam permohonan.
2. Pembangunan CRA
CRA ialah sistem penilaian kendiri atas talian tahap kesediaan sesebuah organisasi sebelum memohon SPHM. CRA dibangunkan untuk menilai kesemua skim SPHM berdasarkan saiz organisasi. Laporan penilaian CRA ini akan menyenaraikan penambahbaikan yang diperlukan beserta anggaran kos dan durasi yang diperlukan sebelum memohon SPHM.
CRA ini dibangunkan bagi membantu mempercepatkan proses permohonan sijil halal dengan membantu pemohon membuat persediaan sebelum membuat permohonan. Secara tidak langsung, ia juga akan mengurangkan risiko permohonan SPHM yang tidak lulus
3. Pembangunan Sistem Kebolehkesanan Rantaian Bahan Mentah
Memastikan produk halal dikesan dari awal sumber bahan mentah sehingga pengguna akhir (end user) bagi memastikan halal terpelihara di sepanjang rantaian bekalan.