Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

92) PROSES MEWARTAKAN TANAH TERBIAR KEPADA TAMAN REKREASI

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status tanah rizab melayu yang nombor lot 2279 dan beberapa lot berhampiran di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Petaling termasuk butiran pemilik (jika ada), cara hubungi pemilik dan adakah cukai tanah dijelaskan.

    Hasil semakan ke atas Lot 2279 mendapati tapak tersebut adalah merupakan tanah hakmilik GM 319 Lot 2222 didaftarkan atas nama Haroun Al Rashid bin Mohd Yusof dengan tunggakan cukai tanah berjumlah RM1,130.80. Lot-lot berhampiran yang dikenalpasti adalah seperti berikut;

    • GM 191 Lot 2221 didaftarkan atas nama Mohamed Ariff bin Abu Bakar dengan tunggakan cukai tanah berjumlah RM254.70;
    • GM 111 Lot 2223 didaftarkan atas nama Raja Hanipuddin bin Raja Nong Chik dengan tiada tunggakan cukai tanah; dan
    • GM 505 Lot 2224 didaftarkan atas nama Raja Hanipuddin bin Raja Nong Chik dengan tiada tunggakan cukai tanah.

     

    Kesemua hakmilik tersebut berada dalam kawasan Tanah Rizab Melayu Sungai Kuyoh (TRM Kuyow: 4832-20). Pejabat Daerah dan Tanah Petaling hanya menyimpan rekod alamat pemilik sebagai kaedah perhubungan dan maklumat tersebut boleh diperolehi melalui Carian Rasmi di dalam Sistem e-Tanah.

  2. Apakah proses untuk mewartakan tanah tersebut untuk menjadikan taman rekreasi memandangkan tanah tersebut telah menjadi taman rekreasi yang terkenal sejak lebih daripada 10 tahun yang lalu.

    Tanah yang terlibat adalah merupakan tanah hakmilik persendirian, cadangan bagi mengekalkan kawasan tersebut sebagai taman rekreasi adalah bertentangan dengan Seksyen 340 dibaca Bersama Seksyen 92 Kanun Tanah Negara iaitu hakmilik yang telah dikeluarkan tidak boleh disangkal. Walaubagaimanapun, Akta Pengambilan Tanah 1960 boleh digunapakai untuk membuat pengambilan tanah-tanah yang terlibat untuk dijadikan sebagai maksud awam dengan bayaran pampasan kepada pemilik tanah oleh Agensi Yang Mengambil.

  3. Adakah pengantian tanah boleh dilakukan untuk mengantikan tanah lain kepada pemilik supaya tanah terbiar tersebut dapat diwartakan sebagai tempat rekreasi?

    Tiada Tanah Kerajaan yang boleh ditawarkan sebagai tanah gantian bagi membolehkan kawasan yang dimaksudkan dikekalkan sebagai kawasan rekreasi.

Lampiran

Tiada Lampiran.