Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

296) PROSES MENDAPATKAN LESEN PERNIAGAAN DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah faktor yang menyukarkan peniaga kecil untuk memohon lesen perniagaan?

    Peniaga kecil perlu mematuhi beberapa syarat-syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sebelum permohonan sesuatu lesen dapat diluluskan.

    Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan peniaga kecil mengalami kesukaran dalam memohon lesen perniagaan. Antara faktor tersebut adalah proses permohonan yang kompleks dan ketat. Proses permohonan lesen melibatkan beberapa langkah serta syarat yang perlu dipatuhi. Proses ini akan memakan masa dan memerlukan pemohon untuk mengeluarkan kos sendiri sebelum lesen dapat dikeluarkan. Terdapat juga peniaga yang kurang arif dalam pemohonan sesuatu lesen menyebabkan proses pemohonan ini menjadi lebih sukar.

    Namun begitu, syarat-syarat dan panduan yang telah ditetapkan ini adalah penting bagi tujuan rekod dan menjamin keselamatan, untuk menjaga kebersihan dan kesejahteraan masyarakat. Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam membantu para peniaga kecil untuk memohon sesuatu lesen. Dengan memperkenalkan platform digital, permohonan lesen dipermudahkan dan sekaligus membantu para peniaga kecil untuk memohon lesen tanpa perlu hadir ke kaunter. Garis Panduan dan panduan pemohonan turut disediakan di laman sesawang setiap PBT bagi membolehkan peniaga kecil memahami dan cakna berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan.

  2. Adakah Kerajaan Negeri sedar bahawa syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan lesen perniagaan terlalu ketat dan tidak sesuai untuk peniaga kecil dan sederhana, terutamanya mereka yang baru ingin memulakan perniagaan?

    Syarat-syarat kelayakan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor untuk mendapatkan lesen perniagaan adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam. Syarat seperti pemeriksaan struktur bangunan dan kelengkapan keselamatan adalah untuk memastikan premis perniagaan tidak membahayakan pelanggan dan pekerja. Sebagai contoh, perniagaan seperti restoran atau kilang memerlukan peralatan keselamatan yang mencukupi untuk mengelakkan kemalangan atau kebakaran. Perkara ini turut diperuntukkan di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1986.

    Selain itu, untuk sektor perniagaan makanan dan minuman, syarat-syarat yang dikenakan adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah kesihatan kepada orang awam seperti penyakit yang disebabkan oleh makanan tercemar. Syarat yang dikenakan adalah berpandukan kepada Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan 2007.

    Seterusnya, bagi perniagaan seperti kedai mencuci kereta atau carwash dan taska, peniaga perlu mendapatkan ulasan daripada Jabatan Perancang, PBT terlebih dahulu. Syarat ini bagi pematuhan kepada rancangan struktur dan rancangan tempatan dalam memastikan pembangunan mengikut zon yang sesuai seperti zon perniagaan, perumahan dan industri. Syarat-syarat ini ditetapkan adalah selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) untuk pembangunan yang teratur, mampan dan seimbang. Melalui pendekatan ini, pembangunan ekonomi dapat dijalankan secara tersusun dan memenuhi keperluan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.