Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
170) PROJEK TERBENGKALAI PANGSAPURI SERI BUNGA RAYA, KAMPUNG MASJID SUNGAI BULOH OLEH PEMAJU ATLAW HOUSING SDN. BHD. (DIGULUNG) DAERAH PETALING
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk membantu pembeli-pembeli yang teraniaya?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor demi membela nasib pembeli-pembeli yang teraniaya walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja. Kuasa pemulihan ini yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Sehubungan itu, beberapa langkah proaktif yang boleh dilaksanakan oleh LPHS ke arah membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai adalah dengan memahami situasi yang mereka hadapi dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalah
Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pembeli yang teraniaya adalah seperti berikut :
- Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 85% daripada
- LPHS berperanan bagi mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau
- LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator), terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- LPHS turut mengadakan perbincangan dengan pelikuidasi (liquidator), bersama semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan termasuk pihak bank dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu- isu keselamatan.
- Sekiranya projek ini melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk membuat penilaian semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek ini ingin
- Sekiranya projek ini menghadapi defisit kos pemulihan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan daripada kontraktor yang berminat dan berwibawa kepada KPKT untuk membuat keputusan bagi mendapatkan peruntukkan khas pemulihan projek
- Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada
Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri telah dilaksanakan secara berjadual sejak tahun 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.
- Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989
- LPHS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakan-tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun
yang sama. Selain itu, pengambilan tanah juga dilaksanakan sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajukan secara tender.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke Mahkamah.
-
Apakah Kerajaan Negeri akan membantu mengambil alih projek tersebut?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam membantu menyelesaikan projek Pangsapuri Seri Bunga Raya yang terbengkalai di Kampung Masjid, Sungai Buloh melalui beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) sejak 6 Julai 2011 sehingga kini. Lanjutan daripada beberapa siri mesyuarat tersebut, pelikuidasi iaitu Mustapha Raj Sdn Bhd telah menganggarkan kos pemulihan semula ke atas 153 unit pangsa kos rendah di atas hakmilik lot PT 1 adalah berjumlah RM8 juta dengan dianggarkan tempoh masa untuk disiapkan adalah selama 18 bulan. Oleh kerana pelikuidasi tidak mempunyai sumber dana untuk meneruskan pemulihan projek ini, pihaknya hanya bergantung kepada sumber wang pampasan daripada Kerajaan Persekutuan di atas pengambilan tanah ke atas hak milik lot PT3 [pemilik tanah Atlaw Sdn Bhd(digulung)] bagi projek Stesen MRT untuk projek Mass Rapid Transit Lembah Klang – Jajaran Sungai Buloh – Kajang. Selain itu, pelikuidasi juga sedang mendapatkan pengesahan daripada jurutera dan konsultan yang dilantik mengenai kekukuhan bangunan pangsa kos rendah tersebut sebelum proses tender dibuat kepada mana-mana kontraktor yang
Bagi tujuan meneruskan pemulihan projek berkenaan, pelikuidasi melalui Carian Persendirian pada 4 Mac 2013 mendapati tanah bagi projek ini di atas hak milik lot PT 1 telah dipindah milik kepada individu atau persendirian tanpa pengetahuan pelikuidasi. Oleh yang demikian, tindakan guaman di Mahkamah telah diambil oleh pelikuidasi bagi mengembalikan semula tanah berkenaan menurut peruntukkan Akta Syarikat 1965 dan Kanun Tanah Negara 1965. Sehubungan dengan itu, usaha pemulihan projek ini tidak dapat diteruskan sehingga Mahkamah membuat keputusan.
Sekiranya keputusan Mahkamah tidak memihak kepada pelikuidasi maka sebagai langkah akhir, Kerajaan Negeri akan mengkaji cadangan untuk melaksanakan tindakan pengambilan tanah di Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan menyelesaikan projek terbengkalai dan menjaga kepentingan pembeli dan peneroka bandar terlibat.