Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

57) PROJEK TERBENGKALAI- PANGSAPURI BUKIT PANDAN

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status Pangsapuri Bukit Pandan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek terbengkalai tersebut ialah dua (2) blok Kondominium 15 tingkat yang dikenali Nusa Mewah Villa Kondominium yang dibangunkan oleh Tetuan Mudi Angkasa Development Sdn Bhd. Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan          dan      Pelesenan)      1966    dengan            Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan no. lesen pemajuan:  8255/062006/718 dan di bawah pemantauan KPKT.

    Pembangunan projek ini melibatkan pembinaan 360 unit rumah yang dijual pada harga jualan RM 132,000.00 seunit dan semua unit telah terjual. Berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani pembeli pada tahun 2001, tempoh siap pembinaan adalah selama 36 bulan daripada tarikh perjanjian yang mana sepatutnya siap pada pertengahan tahun 2004. Namun demikian, projek ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual pembangunan yang dirancang disebabkan oleh kenaikan kos pembinaan. Dengan itu, kontraktor asal yang telah dilantik telah ditamatkan kontrak pada tahun 2007 yang mana ketika itu kerja pembinaan telah mencapai 60 % siap.

  2. Adakah projek ini telah diambil alih oleh mana-mana pihak?

    Dalam usaha meneruskan pemulihan projek tersebut, pemaju telah bersetuju melantik kontraktor baru iaitu Passlink Sdn Bhd. pada 1 Ogos 2007 dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2008. Walau bagaimanapun pada 13 Mac 2008, Mahkamah Tinggi telah mengenakan perintah penggulungan ke atas pemaju Mudi Angkasa Development Sdn Bhd dan melantik Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi (liquidator). Sehingga kini, pelikuidasi masih belum mengambil tindakan untuk memulihkan projek tersebut.

  3. Bolehkan kerajaan mengusahakan projek tersebut. Sila nyatakan caranya

    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, projek terbengkalai di Pangsapuri Bukit Pandan  merupakan pemajuan yang berdaftar dan berlesen di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan ia tertakluk di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.

    Oleh itu, pembeli boleh merujuk terus kes mereka ke Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Akta 118 ini memperuntukkan kuasa kepada  Menteri  untuk melantik syarikat baru mengambil alih pemaju perumahan yang tidak memenuhi obligasi tanpa merujuk kepada Menteri Kewangan terlebih dahulu.

    Memandangkan pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah. Begitu juga keadaannya apabila pembeli-pembeli rumah mereka terbengkalai. Kerajaan Negeri tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

    Walau bagaimanapun, sebagai alternatif penyelesaian ke atas projek-projek terbengkalai yang semakin bertambah di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri  melalui Pejabat EXCO saya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Task Force yang bertindak bagi menangani masalah projek-projek terbengkalai di Negeri Selangor. Setakat ini, terdapat tiga Konsultan iaitu Rimbun Capital Sdn. Bhd., RSS-PMC Sdn Bhd. dan Sama Sejati Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan  jawatankuasa ini bagi membantu untuk menilai semula sama ada projek terbengkalai tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Buat masa ini terdapat 48 projek dalam proses kajian oleh pihak konsultan. Bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut dapat dipulihkan, satu mesyuarat berkala telah diadakan bagi setiap 1 bulan sekali untuk memantau perkembangan projek tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.