Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
196) PROJEK TERBENGKALAI LEBUH RAYA MEX II
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Projek lebuhraya MEX II sepanjang 18 km dari Putrajaya ke FT26 lebuh raya KLIA bermula dari 2016 dan dijangka siap pada akhir 2019 tetapi sehingga kini projek ini masih tergendala dan menjadi punca banjir lumpur. Apakah usaha untuk selesaikan isu?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembinaan projek lebuhraya MEX II ini merupakan sebuah projek yang dilaksanakan secara penswastaan yang dikawal selia oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu agensi pelaksana di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di mana pihak syarikat konsesi bertanggungjawab terhadap pembiayaan projek dan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tanpa melibatkan implikasi kos kepada pihak Kerajaan. Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Lebuhraya dan Infrastuktur di dalam Negeri Selangor Bil.1/2023 pada 30 Mac 2023, kemajuan projek dan aktiviti di tapak yang dilaporkan adalah sebanyak 89.00% berbanding dengan jadual yang sepatutnya sebanyak 100.00%. Peratus perbezaan adalah sebanyak -11.00%.
Projek pembinaan lebuhraya MEX II ini tergendala disebabkan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh pihak syarikat. Pihak syarikat sedang menyediakan cadangan penyelesaian bagi membolehkan projek ini diteruskan pembinaannya sehingga siap dan beroperasi.
Berhubung isu kejadian banjir lumpur yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhomat, berdasarkan rekod, banjir terakhir yang melibatkan MEX II berlaku pada Disember 2020 yang disebabkan oleh kejadian curahan hujan luar biasa yang menyebabkan Sungai Parit Tampoi mengalami kenaikan paras air yang tinggi dan mengakibatkan kejadian banjir di sekitar kawasan berhampiran jajaran lebuhraya MEX II. Semasa kejadian tersebut, Pihak Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) selaku kontraktor utama projek telah mengambil langkah segera dengan meninggikan ban di kawasan pembinaan bagi mengelakkan air sungai melimpah keluar dan menjalankan kerja pembersihan sampah sarap di kawasan struktur sementara jambatan bagi mengelak aliran air tersekat dan menyebabkan kejadian banjir yang lebih teruk.
Pihak MHSB juga mengekalkan pasukan penyelenggaraan di tapak bina untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan secara berkala di sepanjang sempadan MEX II termasuklah kerja- kerja penyenggaraan kolam tadahan dibuat setiap 2 bulan sekali dan kekerapan ini ditambah secara bulanan pada musim hujan. Pihak MHSB turut menjalankan pemantauan harian di tapak MEX II yang merangkumi Traffic Management Plan (TMP), struktur jambatan dan bangunan, saliran, laluan jalan, aspek keselamatan dan alam sekitar demi memastikan kawasan tapak berada dalam keadaan baik, selamat dan mengurangkan gangguan kepada orang awam.