Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

74) PROJEK TERBENGKALAI DI HULU SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mendapat maklumat terkini mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Projek Perumahan Taman Lembah Beringin? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai Pengurus & Penerima yang dilantik oleh RHB Bank sebagai pemegang gadaian telah menjual lot-lot tanah kosong kepada 7 syarikat dan unitunit terbengkalai yang tiada pembeli dijual kepada Purnari Sdn. Bhd. melalui tender terbuka. Walau bagaimanapun, penjualan tersebut telah dicabar oleh Tetuan Emas Kiara Sdn. Bhd. di mahkamah. Susulan daripada itu, kes tersebut telah dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah masih belum menetapkan tarikh baru bagi pengurusan kes tersebut. Dengan ini, urusan pemulihan projek terbengkalai di Lembah Beringin ditangguhkan sehingga keputusan Mahkamah diperolehi.

  2. Adakah Kerajaan Negeri berusaha mencari pemaju penyelamat untuk membantu memulihkan projek terbengkalai Kg Melayu Rasa selepas syarikat kontraktor tidak dapat 100% pemilik tanah bersetuju dengan pemulihan projek? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, semakan semula PKNS terhadap kajian fesibiliti pembangunan mendapati pemulihan bagi projek terbengkalai Kg. Melayu Rasa ini adalah tidak berdaya maju. PKNS juga telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Persatuan Pembeli Kg. Melayu Rasa pada 28 September 2017 bagi memaklumkan tentang status semakan kajian fesibiliti pembangunan yang dibuat PKNS.

    Pengerusi Persatuan Pembeli Kg. Melayu Rasa turut memaklumkan bahawa kebanyakan pembeli tidak bersetuju dengan cadangan pemulihan yang ditawarkan daripada syarikat kontraktor tersebut untuk memulihkan projek tersebut. Sebahagian daripada pembeli juga telah menyatakan hasrat untuk menyiapkan unit rumah mereka sendiri dan telah memohon kepada Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan infrastruktur ke atas pembangunan ini.

    Justeru itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, jalan penyelesaian alternatif adalah masih terbuka dan akan diteruskan bagi membantu pembeli-pembeli teraniaya ini. Kerajaan Negeri juga masih dalam peringkat kajian awalan ke atas penyediaan kerja-kerja infrastruktur ke atas pembangunan ini melalui Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT).

Lampiran

Tiada Lampiran.