Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
59) PROJEK TERBENGKALAI DI HULU SELANGOR
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri mendapat maklumat terkini mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Projek Perumahan Taman Lembah Beringin? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Untuk makluman Yang Berhormat, Tetuan Taman Lembah Beringin Sdn. Bhd. selaku pemaju bagi projek pembangunan perumahan Lembah Beringin telah dikenakan perintah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mac 2006. Susulan daripada perintah penggulungan tersebut Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai Pengurus & Penerima oleh RHB Bank Berhad telah menjual lot-lot tanah kosong kepada tujuh syarikat. Walau bagaimanapun, penjualan tersebut telah ditentang sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan di mana tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 27 Mac 2019.
-
Status terkini kerja-kerja infrastruktur ke atas projek terbengkalai Kampung Melayu Rasa melalui Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT).
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha bagi memastikan usaha pemulihan kemudahan infrastruktur melalui tabung TEPAT bagi projek terbengkalai Kg. Melayu Rasa dapat diselesaikan yang dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang dilaksanakan bersama semua agensi terlibat secara berkala.
Memandangkan projek ini telah lama terbengkalai dan penyelesaian hakmilik individu masih belum selesai, maka Kerajaan Negeri melalui JPPT memutuskan agar Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor (PTDHS) untuk memuktamadkan penyelesaian hakmilik bagi pembeli-pembeli terlebih dahulu sebelum kerja-kerja infrastruktur dipulihkan.
Sehubungan itu, PTDHS dalam tindakan menyelaraskan semua rekod kelulusan senarai nama penerima pemberimilikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang terlibat bagi projek pembesaran kampung ini sebelum penyediaan kertas ringkasan untuk pertimbangan dan keputusan penyelesaian semula oleh MMKN yang dijangka pada bulan Ogos 2019. Sementara itu, sebagai alternatif pihak Pejabat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) sedang membuat kajian berhubung pemulihan pembangunan projek Kampung Melayu Rasa secara menyeluruh bagi membantu pembeli-pembeli teraniaya ini menyiapkan rumah mereka yang telah sekian lama terbengkalai.