Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
57) PROJEK TERBENGKALAI DAN PROJEK SAKIT DI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan projek terbengkalai dan projek sakit di Selangor setakat Januari 2017?
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga Januari 2017 terdapat 114 projek terbengkalai dan sakit di Selangor yang merangkumi projek perumahan dan hartanah komersial / industri.
-
Apakah polisi Kerajaan Selangor untuk melindungi pembeli-pembeli rumah projek terbengkalai atau projek sakit?
Untuk makluman Yang Berhormat, polisi Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) adalah untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalah berkaitan.
Antara polisi Kerajaan Negeri melalui LPHS ke atas projek terbengkalai adalah seperti berikut :
- Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli perlu diperolehi terlebih dahulu.
- LPHS berperanan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.
- LPHS juga mengadakan perbincangan dengan pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- LPHS turut mengadakan perbincangan antara pelikuidasi (liquidator), bersama semua jabatan teknikal seperti Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan termasuk pihak bank dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
- Sekiranya projek ini melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk membuat penilaian semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek ini ingin diteruskan.
- Sekiranya projek ini menghadapi defisit kos pemulihan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan daripada kontraktor yang berminat dan berwibawa kepada KPKT untuk membuat keputusan bagi mendapatkan peruntukkan khas pemulihan projek ini.
- Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank yang terlibat diurus setia oleh LPHS di mana dilaksanakan secara berjadual sejak tahun 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak terlibat dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat pemantauan sehingga projek siap dengan Sijil Layak Menduduki.
- Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
- LPHS juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakan-tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama. Selain itu, pengambilan tanah juga dilaksanakan sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajukan secara tender.
-
Sila kemukakan senarai kes-kes Kerajaan Selangor berjaya memulihkan projek terbengkalai ataupun projek sakit
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah projek terbengkalai di Selangor dengan menyalurkan bantuan kepada pembeli yang teraniaya walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja. Kuasa pemulihan ini yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.
Sehubungan itu, beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan oleh LPHS ke arah membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai adalah dengan memahami situasi yang mereka hadapi dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalah ini.
Antara bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pembeli projek terbengkalai adalah seperti berikut :
- Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri telah dilaksanakan secara berjadual bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.
- Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.
- LPHS berperanan bagi mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.
- LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
- Mengatur pertemuan dengan institusi kewangan sebagai pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pembeli bagi menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan dan seterusnya menyelesaikan masalah kewangan pembeli
- Sekiranya projek ini melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk membuat penilaian semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek ini ingin diteruskan.
- Sekiranya projek ini menghadapi defisit kos pemulihan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan daripada kontraktor yang berminat dan berwibawa kepada KPKT untuk membuat keputusan bagi mendapatkan peruntukkan khas pemulihan projek ini.
- Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan
Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989
- LPHS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakantindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke Mahkamah.