Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

41) PROJEK TERBENGKALAI

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mendapat maklumat terkini mengenai keputusan mahkamah terhadap Projek Perumahan Taman Lembah Beringin? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. sebagai pelikuidasi telah melantik Legenda Beringin Sdn. Bhd. (LBSB) sebagai pemaju penyelamat melalui proses tender yang telah diadakan namun terdapat pembida lain telah membawa kes ini ke Mahkamah berhubung isu pelantikan pemaju penyelamat berkenaan. Susulan daripada itu, kes tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes yang dijadualkan akan dibuat pada 6 Disember 2017 (Rabu). Dengan ini, urusan pemulihan projek terbengkalai di Lembah Beringin ditangguhkan sehingga keputusan Mahkamah diperolehi.

  2. Nyatakan cadangan Kerajaan Negeri terhadap Projek Pembesaran Kg Melayu Rasa yang terbengkalai selepas PKNS memaklumkan kepada pembeli-pembeli rumah bahawa PKNS tidak akan membaikpulih projek tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat, semakan semula PKNS terhadap kajian fesibiliti pembangunan mendapati pemulihan bagi projek terbengkalai Kg. Melayu Rasa ini adalah tidak berdaya maju. PKNS juga telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Persatuan Pembeli Kg. Melayu Rasa pada 28 September 2017 bagi memaklumkan tentang status semakan kajian fesibiliti pembangunan yang dibuat PKNS.

    Pengerusi Persatuan Pembeli Kg. Melayu Rasa turut memaklumkan kepada PKNS bahawa pihak mereka kini sedang dalam proses rundingan bersama sebuah syarikat kontraktor yang bersedia untuk membantu memulihkan projek tersebut.

    Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri, jalan penyelesaian alternatif adalah masih terbuka dan akan diteruskan bagi membantu pembeli-pembeli teraniaya ini menyiapkan rumah mereka yang telah sekian lama terbengkalai.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.