Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

45) PROJEK TERBENGKALAI

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah keputusan mahkamah terhadap 3 projek perumahan terbengkalai iaitu Projek Perumahan Taman Lembah Beringin, Projek Perumahan The Genting Valley dan Projek Pembinaan Penempatan Semula Setinggan Fasa 1 Rumah Pangsa Kos Rendah Sri Bunga Raya Shah Alam?

    Untuk makluman Yang Berhormat, berikut adalah status terkini ke atas 3 projek perumahan terbengkalai yang terlibat dengan kes mahkamah:

    • Projek Perumahan Taman Lembah Beringin – Berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada Pelikuidasi yang dilantik, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Ogos 2016 telah memihak kepada Pelikuidasi iaitu Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd.. Walau bagaimanapun, Tetuan Emas Kiara selaku Plaintif telah memfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia dan dijangka perbicaraan akan dijalankan pada Julai 2017.
    • Projek Perumahan The Genting Valley – Berdasarkan maklumbalas yang diterima, Wong Ching Yong (No. K.P : 580108-13-5155) telah dilantik sebagai Pelikuidasi Swasta yang baru bagi syarikat Jade San Realty Sdn. Bhd. (In Liquidation) menggantikan Ler Cheng Chye dan Lum Tuck Cheong berikutan keputusan Mahkamah Rayuan, Rayuan Sivil No. W-02(IM)-1864-11/Tahun 2015 bertarikh 22 Mac 2016. Pada masa ini pihak pembeli masih dalam proses perbincangan dengan Pelikuidasi baru berhubung cadangan pemulihan ke atas projek tersebut.

     

    • Projek Pembinaan Penempatan Semula Setinggan Fasa 1 Rumah Pangsa Kos Rendah Sri Bunga Raya Shah Alam – Berdasarkan maklumbalas daripada Pelikuidasi yang dilantik iaitu Tetuan MustaphaRaj Sdn. Bhd., pihak Pelikuidasi telah memulakan tindakan Writ untuk mengambil semula Lot PT 1 daripada pembeli individu pada 30 Ogos 2016. Pelikuidasi telah menamakan beberapa pihak sebagai Defendan antaranya Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor dan Pentadbir Tanah Petaling di dalam tindakan Writ tersebut. Lanjutan daripada itu, Mahkamah Tinggi telah meminta pihak-pihak berkaitan untuk memfailkan isu-isu untuk Perbicaraan dan Kenyataan yang diakui pada 3 April 2017 dan pelikuidasi juga memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam telah pun menetapkan tarikh perbicaraan untuk tindakan Writ tersebut antara 3 Mei 2017 hingga 9 Mei 2017.
  2. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Pembesaran Kg Melayu Rasa yang terbengkalai dapat dibaikpulih dengan jayanya memandangkan PKNS telah mengambil alih projek tersebut hampir 2 tahun?

    Beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui LPHS ke arah memastikan usaha pemulihan projek terbengkalai berjalan mengikut perancangan dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara. Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha bagi memastikan projek terbengkalai berjalan mengikut perancangan adalah seperti berikut :

    • Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri telah dilaksanakan secara berjadual bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang di urusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan di samping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.
    • LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pemaju penyelamat bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
    • LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
  3. Status terkini pemulihan Projek Pembesaran Kampung Jawa (Taman Desa Beringin) termasuk laporan kajian PKNS dan MDHS mengenai projek ini

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatan Kuasa Tetap (STANDCO) Perumahan, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor Bil.01/2016 yang telah diadakan pada 11 April 2016 pihak Majlis Daerah Hulu Selangor telah membentangkan laporan kajian berhubung Projek Pembesaran Kampung Jawa (Taman Desa Beringin) berhubung cadangan pindaan zoning Rancangan Tempatan (RT) daripada zon perumahan kepada zon industri sepertimana yang diputuskan di dalam Mesyuarat Pra-STANDCO. Ahli mesyuarat telah mengambil maklum dan bersetuju bahawa cadangan pindaan zoning Rancangan Tempatan (RT) daripada zon perumahan kepada zon industri tidak memenuhi syarat dan keperluan Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan terutamanya jalan masuk yang akan melalui kawasan kediaman, tiada zon penampan yang mencukupi dan bersebelahan dengan Sungai Kerling yang boleh mencemarkan sungai. Projek ini juga tidak “viable” untuk dipulihkan disebabkan kos pemulihan yang tinggi, namun sekiranya ada pemilik bersetuju untuk memulihkan sendiri maka pemilik boleh melantik pemaju mereka sendiri dengan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri melalui LPHS.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.