Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
257) PROJEK TERBENGKALAI
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah projek terbengkalai yang ada di dalam DUN Balakong?
Untuk makluman Yang Berhormat, di dalam kawasan DUN Balakong terdapat dua (2) projek perumahan yang telah disahkan terbengkalai iaitu Taman Sri Bahagia Indah dan Residensi Jaya.
-
Adakah wujudnya kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan persekutuan untuk menangani isu ini?
Seperti Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah bertindak dan memainkan peranan sebagai pemudahcara/mediator bagi memastikan pemulihan projek terbengkalai di Negeri Selangor agar dapat dijayakan serta hak dan kepentingan para pembeli rumah dipelihara.
Oleh itu, kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan perlu dijalinkan dalam menyelesaikan isu projek terbengkalai bagi mencapai matlamat tersebut melalui Mesyuarat Kerjasama Pintar (Smart Partnership) yang telah diadakan setiap tahun serta turut dihadiri oleh semua wakil Pejabat Daerah/Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor bagi membincangkan mengenai perancangan pemulihan projek serta halatuju projek terbengkalai secara amnya di Negeri Selangor. Seterusnya beberapa siri-siri mesyuarat, perbincangan serta lawatan tapak juga telah dan akan diadakan secara berterusan di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan Bersama-sama semua pihak terlibat dalam menangani permasalahan projek terbengkalai di Negeri Selangor.
-
Apakah bantuan yang boleh disalurkan oleh Kerajaan Selangor kepada pembeli-pembeli Projek Residensi Jaya dan Taman Bahagia Indah?
Untuk makluman Yang Berhormat, Beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Bersama-sama pihak yang terlibat seperti Syarikat P&P, wakil pembeli, Syarikat Pelikuidasi dan badan perbankan bagi membincangkan pelan pemulihan dan penyelesaian projek ini. Pihak P&P juga telah menyerahkan kepada LPHS “Letter of Undertaking” (LOU) bagi memastikan pembayaran semula deposit kepada para pembeli projek Residensi Jaya tidak diketepikan di dalam cadangan penyelesaian projek ini. Pihak Jabatan Perumahan Negara (JPN) bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), LPHS, P&P, Pelikuidasi Ferrier Hodgson dan lain -lain agensi terlibat juga telah mengadakan perbincangan di tapak pembangunan pada 30 Jun 2022 yang lalu bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi dalam usaha untuk penyelesaian pembeli-pembeli RSKU. Selain daripada itu, sebagai tindakan dalam membantu pembeli-pembeli pihak Kerajaan Negeri melalui LPHS turut menawarkan projek-projek Rumah Selangorku yang telah siap dan sedang dalam pembinaan kepada mereka yang berminat. Sehingga kini sebanyak 8 orang pembeli telah ditawarkan semula ke projek-projek Rumah Selangorku yang lain-lain.
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan maklumbalas dan rekod daripada Jabatan Perumahan Negara (JPN), KPKT pada bulan September 2022 didapati permasalahan projek terbengkalai Taman Bahagia masih lagi berlanjutan sehingga ke hari ini berikutan Persatuan Penganut Buddha Su Ci Hang (2) KL/Selangor yang merupakan tuan tanah dan pembeli-pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju (digulung) masih belum memberikan kerjasama terhadap penyelesaian dan pemulihan projek ini. Berdasarkan lawatan tapak LPHS yang telah diadakan bersama pihak Majlis Perbadaran Kajang (MPKj) pada 1 Februari 2023 mendapati status kemajuan pembangunan adalah sebanyak 90%. Pihak MPKJ tiada halangan untuk membantu mengadakan perbincangan bersama semua pihak terlibat bagi mencari pendekatan yang terbaik ke arah untuk mendapatkan Certification of Completion and Compliance (CCC) tertakluk kepada kelulusan agensi teknikal.