Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

2) PROJEK TERBENGKALAI

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan semua projek-projek terbengkalai di DUN Teratai dan statusnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat hanya satu projek terbengkalai yang dikenal pasti di DUN Teratai yang terbengkalai iaituNusa Mewah Villa Kondominium yang dibangunkan oleh Tetuan Mudi Angkasa Development Sdn Bhd. Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan no. lesen pemajuan:  8255/062006/718 dan di bawah pemantauan KPKT.

    Pembangunan projek ini melibatkan pembinaan dua (2) blok Kondominium 15 tingkat sebanyak 360 unit rumah dengan harga jualan RM132,000.00 seunit dan semua unit telah terjual. Berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani pembeli pada tahun 2001, tempoh siap pembinaan adalah selama 36 bulan daripada tarikh perjanjian yang mana sepatutnya siap pada pertengahan tahun 2004. Namun demikian, projek ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual pembangunan yang dirancang disebabkan oleh kenaikan kos pembinaan.

    Lanjutan daripada itu, kontraktor asal yang telah dilantik telah ditamatkan kontrak pada tahun 2007 dengan kemajuan kerja pembinaan mencapai 60 %. Dalam usaha meneruskan pemulihan projek tersebut, pemaju telah bersetuju melantik kontraktor baru iaitu Passlink Sdn Bhd. pada 1 Ogos 2007 dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2008. Walau bagaimanapun pada 13 Mac 2008, Mahkamah Tinggi telah mengenakan perintah penggulungan ke atas pemaju

    Mudi Angkasa Development Sdn Bhd dan melantik Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi (liquidator).

    Bagi membolehkan projek ini dipulihkan semula, pelikuidasi telah mendapat persetujuan daripada Mahkamah untuk melantik pemaju penyelamat iaitu Kamuja Corporation Sdn Bhd dengan kos pemulihan keseluruhan sebanyak RM25 juta. Sehubungan dengan itu,  pembeli telah ditawarkan 2 pilihan samada berminat untuk meneruskan pembinaan dengan dikenakan kos tambahan (topup) sebanyak RM30,700 atau melepaskan unit mereka dan menerima bayaran balik amaun yang telah dibayar selepas projek siap dengan Sijil Layak Menduduki. Berdasarkan mesyuarat pada 14 Jun 2011 di KPKT, perkara ini masih dalam proses perbincangan di antara pembeli dengan pihak bank/pembiaya bagi mendapatkan pinjaman tambahan tersebut sebelum pemaju dapat melaksanakan pemulihan projek tersebut. Walaubagaimanapun, pembeli diberi tempoh lanjutan untuk mendapatkan bayaran tambahan sehingga 31 Julai 2011.

Lampiran

Tiada Lampiran.