Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
82) PROJEK TEBATAN BANJIR DI JALAN KUYUH
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah fokus dan jumlah projek tebatan banjir di Jalan Kuyuh yang diperuntukkan dibawah RMK terbaru?
Usaha-usaha Kerajaan Negeri melalui JPS bagi mengatasi masalah banjir di lembangan Sungai Kuyuh adalah melalui tindakan segera dan tindakan jangka masa panjang. Tindakan segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM39,675,000.00 bagi melaksanakan kerja-kerja segera di kawasan 50 hotspot banjir di Negeri Selangor dimana sebanyak RM1,700,000.00 telah diperuntukan di kawasan Seri Serdang dan Seri Kembangan bagi melaksanakan 4 kerja melibatkan skop pengorekan sungai dan pengorekan serta pelebaran kolam takungan.
Melalui tindakan jangka masa panjang, Projek Rancangan Tebatan Banjir Sg Kuyoh telah diluluskan dalam Rolling Plan 4 RMKe-11 di bawah Peruntukan Persekutuan dengan kos sebanyak RM300 juta. Skop utama yang akan dilaksanakan di Jalan Kuyoh adalah mendalam dan melebarkan Sg Kuyoh bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut. Skop-skop yang lain adalah seperti berikut :
- Perkhidmatan perunding
- Pengambilan balik tanah
- Pengalihan utiliti
- Menaiktaraf Sungai Kuyoh sepanjang 14km
- Menaiktaraf kolam takungan iaitu Kolam A, Kolam UPM 1 dan Kolam Bohol
- Membina kolam takungan baru iaitu Kolam UPM 2
- Pengukuhan jambatan
- Pembinaan sistem pam
- Pembinaan perangkap sampah
Status terkini RTB Sg Kuyoh ini adalah dalam peringkat rekabentuk oleh perunding dan kerja-kerja fizikal dijangka akan bermula pada tahun 2023.
-
Adakah ia akan memberi perhatian lebih kepada kawasan Selangor atau Kuala Lumpur?
Objektif pelaksanaan RTB Sg Kuyoh adalah bagi mengatasi masalah banjir di Lembangan Sg kuyoh yang merangkumi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Outcome projek ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah Negeri.