Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

142) PROJEK SOLAR OLAK LEMPIT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah limpahan manfaat hasil projek ini kepada penduduk setempat khususnya di Mukim Dengkil seperti Olak Lempit dan Mukim Tanjung 12?

    Dari segi ekonomi setempat, dijangkakan projek ini akan menarik pelabur untuk membangunkan kawasan sekitar samada untuk pembangunan industri atau perumahan selaras dengan zon gunatanah yang telah ditetapkan dalam Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030.

    Selain itu juga, aktiviti tersebut dapat memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya mengenai teknologi solar dan operasi projek penjanaan solar.

    Projek merupakan usahasama diantara pihak TNB dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkemungkinan manfaat yang boleh diberikan kepada penduduk adalah  memberi penurunan tariff elektrik.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu membangunkan kemahiran penduduk luar bandar dimana projek berteknologi tinggi seperti ini dibangunkan agar mereka turut mendapat manfaat?

    Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan kemahiran serta ilmu pengetahuan khususnya penduduk luar bandar di Negeri Selangor melalui program-program kemahiran. Namun program-program kemahiran yang berteknologi tinggi seperti projek solar belum pernah dilaksanakan setakat ini. Antara program yang melibatkan kemahiran yang dilaksanakan pada masa sekarang adalah seperti Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek dan Sederhana.

    Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan serta tambah nilai dari segi kemahiran, ilmu pengetahuan yang berkaitan kepada belia dan masyarakat di luar bandar yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal. Pelaksanaan program ini juga dapat memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi membentuk kemahiran yang diperlukan oleh mereka. Bagi tahun 2015 dan 2016, Program-program yang berkaitan dengan kemahiran telah dilaksanakan secara berasingan bertempat di INPENS International College dan di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September. Bagi tahun 2017 pula, program Inkubator telah dilaksanakan di Inkubator Sabak Bernam dan juga Inkubator Meru, Klang, Selangor.

    Program tersebut bertujuan untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan Kampung Tradisi termasuk pembinaan kemahiran teknikal dan juga pembinaan modal insan yang diperlukan bagi meningkatkan taraf sosial rakyat Negeri Selangor ke arah kesejahteraan negeri. Antara kemahiran-kemahiran yang diberi keutamaan dalam program tersebut adalah seperti berikut:

    1. Penyamanan udara dan pendawaian elektrik;
    2. Kecantikan, dandanan rambut serta jahitan;
    3. Kemahiran membaiki motorsikal;
    4. Makanan sejuk beku; dan
    5. Stimulatheraphy

     

    Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pembinaan sembilan (9) buah Dataran Niaga yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.35juta di setiap daerah bertujuan untuk menaiktaraf tapak-tapak pasar malam sedia ada dan menjadi medan untuk memasarkan produk-produk desa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.