Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
58) PROJEK SJAM SSP 1,2,3
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini Projek SJAM di SSP 1,2,3 termasuk peratusan kerja di tapak?
Secara keseluruhan, prestasi kemajuan projek SJAM di LRA Sungai Selangor 1, 2, 3 dan LRA Sungai Semenyih setakat 20 Jun 2024 lewat jadual sebanyak 1.62% di mana kerja-kerja telah mencapai 89.54% berbanding jadual sebanyak 91.16%. Projek dijangka siap termasuk dengan Pengujian dan Pentauliahan (Testing and Commissioning) sebelum akhir tahun 2024 dan seterusnya akan diserahkan untuk dioperasikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. pada suku pertama tahun 2025.
Bagi Pakej A, kerja-kerja di tapak telah mendahului jadual sebanyak 0.43% di mana kerja-kerja di tapak telah mencapai 83.65% berbanding jadual sebanyak 83.22%. Kerja-kerja di tapak dijadualkan siap pada bulan September 2024 dan berdasarkan pengesahan TNB, bekalan elektrik akan disambungkan pada pertengahan September 2024. Selepas sambungan bekalan elektrik, Pengujian dan Pentauliahan akan dilaksanakan selama dua (2) minggu.
Bagi Pakej B, kerja-kerja fizikal di tapak telah siap sepenuhnya dan dalam tindakan menunggu sambungan bekalan elektrik oleh TNB yang dijangkakan pada bulan Julai 2024.
Kerja-kerja pelencongan sungai di bawah Pakej C telah mencapai 95.04% dan dijadualkan siap pada bulan Julai 2024. Namun demikian, Pengujian dan Pentauliahan ke atas pengoperasian lencongan sungai hanya akan dilaksanakan serentak dengan pengujian sistem pengepaman air di bawah Pakej A pada bulan September 2024.
Pakej D pula mengalami kelewatan sebanyak 6.23%. Kerja-kerja di tapak mencapai 92.97% berbanding jadual 99.20% sepatutnya siap pada 30 Jun 2024. Punca utama kelewatan ini disebabkan berlakunya kejadian luar jangka yang mana semasa pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembicuan paip bersaiz 2400 mm diameter dengan panjang 22.5 meter merentasi Jalan Utama 1 (Jenderam Hilir), pihak kontraktor telah menemukan paip HDPE bersaiz 500 mm merentangi jajaran kerja-kerja pembicuan tersebut. Kerja-kerja pembicuan paip telah bermula pada 8 Mei 2024 dan dijadualkan siap pada awal Jun 2024, namun penemuan paip HDPE pada 16 Mei 2024 menyebabkan kerja-kerja di tapak terpaksa dihentikan sehingga siapnya kerja-kerja pengalihan paip HDPE oleh kontraktor yang dilantik oleh Air Selangor.
Kerajaan Negeri telah memaklumkan kontraktor bahawa tiada lagi kelulusan Lanjutan Masa akan dipertimbangkan sekiranya kelewatan tersebut jelas disebabkan oleh pihak kontraktor sendiri sebaliknya Gantirugi Tertentu pada kadar yang telah ditetapkan untuk tempoh sepanjang kerja-kerja tersebut tidak disiapkan akan dikenakan selaras dengan peruntukan yang telah dipersetujui di dalam Condition of Contract.