Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

254) PROJEK SELANGOR MARITIME GATEWAY (SMG)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perjelaskan status projek Selangor Maritime Gateway (SMG) secara terperinci tentang perbelanjaan dan tempoh tahun yang akan dijangka siap sepenuhnya?

    Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) kini telah memasuki Fasa 2 bermula tahun 2023. Didalam Fasa 2 projek SMG menumpu ke arah usaha penjanaan nilai (value realisation). Antara projek-projek berimpak tinggi yang dilaksanakan dalam Fasa 2 adalah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) bagi meningkatkan jaminan kualiti dan kuantiti air Sungai Klang dan merealisasikan pembangunan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang terbiar disepanjang Sungai Klang.

    Jumlah perbelanjaan yang terlibat adalah seperti berikut:

    Bagi pembangunan projek-projek pemangkin, kos yang telah dibelanjakan untuk menaiktaraf Taman Awam Pangkalan Batu, Klang adalah sebanyak RM7.3juta ringgit. Kos yang telah dibelanjakan untuk pembangunan taman rekreasi awam Mangrove Point, Klang pula adalah sebanyak RM13juta ringgit. Bagi projek mendalamkan dan melebarkan Sungai Klang pula sehingga kini, kos yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM20juta ringgit. Bagi tujuan pembersihan Sungai Klang pula sebanyak RM25juta ringgit telah dibelanjakan untuk pengurusan sisa pepejal sungai dan pembinaan infrastruktur pembersihan seperti log boom (perangkap sampah).

    Status projek-projek berkenaan pula adalah seperti berikut:

    Projek-projek pemangkin Taman Awam Pangkalan Batu dan juga Taman Rekreasi Mangrove Point telah siap sepenuhnya. Bagi pembangunan projek perumahan di SA 05 Seksyen 24, Shah Alam ia akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun dan dijangka siap pada tahun 2034. Bagi projek KL 08 di Tanjung Syawal Klang, ia masih dalam proses kelulusan Kebenaran Merancang. Manakala bagi projek mendalamkan dan melebarkan Sungai Klang pula ia dijangka siap pada tahun 2027. Selanjutnya bagi projek pembersihan Sungai Klang walaupun keadaan dan kualiti air Sungai Klang telah menunjukkan peningkatan, program pembersihan akan diteruskan sehingga Sungai Klang bersih dari sampah sarap.

  2. Sila nyatakan agensi utama yang terlibat di dalam kerja-kerja pendalaman dan pelebaran Sungai secara terperinci?

    Di bawah kerja-kerja pendalaman dan pelebaran Sungai Klang agensi-agensi yang terlibat adalah:

     

    1. Perbendaharaan Negeri Selangor,
    2. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor
    3. Pejabat Daerah Petaling
    4. Pejabat Daerah Klang
    5. Majlis Bandaraya Shah Alam
    6. Majlis Bandaraya Subang Jaya
    7. Majlis Perbandaran Klang
    8. Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
    9. Lembaga Urus Air Selangor
    10. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)
    11. Seksyen Makro & Penswastaan, UPEN
  3. Rentetan dari persoalan integriti berkenaan Projek SMG ini, adakah kerajaan negeri terbuka untuk pihak Jabatan Audit Negara dan SPRM membuat siasatan?

    Kerajaan negeri tiada sebarang halangan dan sentiasa terbuka untuk pihak Jabatan Audit Negara dan SPRM membuat sebarang siasatan terhadap projek Selangor Maritime Gateway.

Lampiran

Tiada Lampiran.