Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
264) PROJEK SELANGOR MARITIME GATEWAY
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status kelulusan Kebenaran Merancang daripada PBT untuk projek pembangunan 2,000 unit rumah mampu milik dalam Projek Selangor Maritime Gateway dan apakah ulasan yang diberikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung projek tersebut?
Dua (2) permohonan Kebenaran Merancang (KM) telah dikemukakan bagi projek pembangunan di bawah SMG iaitu:
i. Plot SA05 di Seksyen 24, Shah Alam seluas 26.29 ekar, Kebenaran Merancang terkini telah di kemukakan ke MBSA pada 25 Oktober 2023.
ii. Plot KL08 di Tanjung Syawal, Klang seluas 33.915 ekar, Kebenaran Merancang telah dikemukakan ke MPK pada 25 Julai 2023.
Pihak LUAS telah memberi ulasan bagi Plot SA05 di Seksyen 24 Shah Alam seperti berikut :
“3 PBT yang terlibat dengan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) di sepanjang Sungai Klang adalah PBT Majlis Perbandaran Klang (MPK), PBT Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan PBT Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). Sehingga ke masa ini di bawah pengawasan dan pengetahuan pihak LUAS hanya 1 permohonan Kebenaran Merancang yang telah diterima dan telah diulas oleh pihak LUAS iaitu di PBT MBSA seperti berikut:
Permohonan Kebenaran Merancang Di Bawah Seksyen 21 Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) Bagi Cadangan Pelan Susunatur Di Atas Lot PT 1553, Seluas 26.29 Ekar Di Seksyen 24, Bandar Shah Alam, 40300 Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan Di Bawah Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) Untuk Tetuan Lion Waterfront Sdn. Bhd. (LWSB).
No. Rujukan ID Permohonan OSC 3.0 Plus MBSA : MBSA-KM20230626-005 Status Permohonan Kebenaran Merancang PBT : Lulus Dengan Pindaan Pelan Ulasan LUAS : Menyokong Dengan Bersyarat Jumlah Bilangan Rumah Mampu Milik (Rumah SelangorKu) : 769 unit/6.41 Ekar Bagi permohonan-permohonan Kebenaran Merancang lain yang berkaitan dengan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) ini, pihak LUAS akan memantau secara berterusan melalui libat urus pihak LUAS sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap Mesyuarat OSC di 3 PBT terlibat.
Untuk makluman, ulasan yang diberikan oleh pihak LUAS bagi permohonan ini adalah menyokong dengan bersyarat. Antara syarat utama pihak LUAS adalah:
- Pemaju dikehendaki mendapatkan Kebenaran Bertulis Pengarah LUAS selaras dengan peruntukan Seksyen 43 (1), Enakmen LUAS, 1999 dan Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 kerana menjalankan aktiviti pengubahan sumber iaitu cadangan aktiviti pembangunan di kawasan 50 meter daripada tebing sumber air samada aliran sungai, parit tanah, badan air kolam (semulajadi ataupun buatan):
a. Kebenaran Bertulis ini perlu diperolehi sebelum apa-apa aktiviti kerja tanah dan pembinaan bangunan dimulakan di tapak.
b. Permohonan Kebenaran Bertulis ini hendaklah disertakan bersama Surat Kelulusan Kebenaran Merancang daripada pihak Majlis, Pelan Rekabentuk Struktur, Pelan Kerja Tanah dan Pelan Saliran yang telah diluluskan oleh pihak JPS.
c. Kegagalan pemaju untuk mendapatkan Kebenaran Bertulis ini boleh disabitkan dengan kesalahan menurut Seksyen 43 (4), Enakmen LUAS, 1999 dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
2. Pemaju dikehendaki memastikan penyediaan rizab ataupun kawasan penampan bagi Sungai Klang sepertimana ditetapkan dan disyaratkan oleh pihak JPS Selangor.
3. Pemaju dikehendaki memastikan tiada sebarang aktiviti pelencongan sungai, penjajaran, pengambusan atau aktiviti lain yang melibatkan badan air selaras dengan pelaksanaan Strategi Pengurusan Sungai Negeri Selangor yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 30 Mei 2012.
4. Selain itu, pemaju juga dikehendaki mengekalkan badan air kolam (semulajadi ataupun buatan) sekiranya ianya wujud dalam tapak cadangan dalam keadaan asal dan ianya tidak boleh dikacauganggu samada dalam bentuk aktiviti pengambusan, pengecilan ataupun penutupan selaras dengan Strategi Pengurusan Tasik Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 25 Jun 2014. Untuk makluman, syarat di para ini dikecualikan sekiranya aktiviti-aktiviti ini telah mendapat kebenaran bertulis daripada pihak LUAS.
5. Selaras dengan peruntukan Seksyen 43 (1), Enakmen LUAS, 1999 berkenaan pelanggaran syarat di Para 3 dan Para 4 diatas iaitu seseorang yang menjalankan aktiviti pengubahan sumber tanpa kebenaran Pengarah LUAS adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43 (4) Enakmen LUAS 1999 dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.
6. Selaras dengan polisi-polisi yang terkandung didalam Pelan Integrated River Basin Management (IRBM) Lembangan Sungai Klang yang disediakan oleh pihak LUAS, pemaju hendaklah memastikan perkara-perkara berikut diberi perhatian sewajarnya :
- Pembangunan dijalankan secara berfasa dan menyediakan langkah kawalan serta mitigasi pencemaran agar meminimakan impak air larian permukaan terhadap sumber air berhampiran dan tidak memberi kesan kepada pengoperasian loji rawatan air dan muka sauk yang berada di bahagian downstream terutamanya melibatkan parameter Jumlah Pepejal Terampai (TSS) dan kawalan terhadap minyak dan gris selaras bagi Polisi 1 : Memastikan Air Mengcukupi dan Polisi 2 : Memastikan Air Bersih.
- Sistem saliran yang bersistematik perlu disediakan dengan mengambilkira kedudukan aliran air permukaan di tapak bagi mengelakkan masalah banjir kilat atau tanah runtuh yang akan memberi kesan terhadap sumber air selaras dengan Polisi 3 : Perlindungan Daripada Banjir.
7. Pemaju dikehendaki mematuhi keperluan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) dan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) yang disediakan oleh JPS di dalam memastikan langkah-langkah kawalan dibuat sewajarnya bagi mengurangkan kesan buruk terhadap sistem saliran semasa dan cadangan kelak.
8. Pemaju dikehendaki memohon Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar daripada pihak LUAS bagi aktiviti kerja tanah yang dijalankan selaras dengan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 dan Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 sekiranya projek tidak tertakluk di bawah Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Antara syarat utama didalam permohonan lesen ini kelak adalah :
- Pemaju dikehendaki menjalankan pemantauan kualiti efluen di titik pensampelan yang ditetapkan dan laporan kualiti air tersebut hendaklah dikemukakan kepada pihak LUAS setiap tiga (3) bulan sekali.
Pemaju hendaklah memastikan efluen yang dialirkan keluar daripada semua titik pelepasan akhir (final discharge point) mematuhi piawaian ditetapkan bagi parameter jumlah pepejal terampai (TSS) iaitu tidak melebihi 100 mg/l dan minyak & gris iaitu tidak melebihi 10 mg/l. Langkah-langkah kawalan mitigasi dan kawalan pelepasan efluen perlu dijalankan oleh pihak pemaju secara berkesan dan berterusan bagi mengelakkan sebarang pencemaran pada sungai dan badan air berdekatan. Ini adalah selaras dengan Peraturan Kemasukan dan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 dan pelanggaran peraturan ini adalah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda.