Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

197) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI TAMAN WAWASAN TANJONG KARANG

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu pemilik rumah di Taman Wawasan Tanjong Karang yang masih tidak dapat diduduki sehingga sekarang ?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah berusaha untuk membantu pemilik rumah di Taman Wawasan Tanjong Karang yang masih tidak dapat diduduki sehingga sekarang dengan mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan yang hadiri oleh Ahli Jawatankuasa Bertindak, wakil Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor, wakil pemaju, wakil jabatan teknikal serta arkitek projek bagi tujuan mencari jalan penyelesaian kepada masalah rumah condong di Taman Wawasan.

    Berdasarkan kepada mesyuarat penyelarasan yang telah diadakan, arkitek bagi projek tersebut telah diarahkan untuk mengemukakan laporan cadangan pembaikan kepada MDKS supaya dapat disemak dan MDKS telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan penduduk memasuki atau mendiami bangunan tersebut demi menjaga keselamatan penduduk. MDKS juga telah bersetuju untuk  mengambil tindakan membersihkan kawasan sekitar bagi menjamin keselamatan penduduk serta menyediakan pengawal keselamatan supaya kawasan tersebut tidak diceroboh.

    Walau bagaimanapun, tindakan tersebut tidak dapat dijalankan kerana sebahagian penduduk telah memfailkan kes tuntutan terhadap pemaju, Tetuan Radiant Hart Construction Sdn Bhd, MDKS serta Kerajaan Negeri di  Mahkamah Seksyen Klang pada 02 April 2007 dan Kerajaan Negeri tidak boleh campur tangan kerana prosiding mahkamah masih belum selesai.

    Namun, bagi meringankan beban pemilik, MDKS telah mengambil tindakan secara pentadbiran dengan meminta Jawatankuasa Bertindak menyediakan senarai terkini pemilik yang terlibat bagi membolehkan pihak Majlis membuat Kertas Ringkasan kepada Kerajaan Negeri untuk cuba mendapatkan peruntukan bantuan seperti subsidi sewa serta belanja perpindahan dan mereka telah ditawarkan untuk menyewa kuarters milik MDKS di Kuala Selangor sementara  menunggu kes tersebut diputuskan oleh mahkamah.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.