Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

146) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI SEJAK SEBELUM 2008 DI DUN MERU

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa bilangan siap, sedang dimaju semula dan tidak dapat diselamatkan? Senaraikan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja dan kuasa ini terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Namun begitu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor diberikan peranan dan tanggungjawab dalam melaksanakan pemantauan ke atas projek terbengkalai bermula pada Disember 2006. Berdasarkan rekod Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan semakan dengan rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum tahun 2008 hanya mengenalpasti data setakat tahun 2007 di mana tiada jumlah projek perumahan terbengkalai yang berjaya disiapkan dan sedang dimajukan semula. Manakala jumlah projek perumahan terbengkalai yang tidak dapat dipulihkan atau diselamatkan adalah sebanyak 10 projek melibatkan 427 unit.

  2. Apakah halangan untuk diselamatkan?

    Faktor utama yang menghalang bagi usaha pemulihan atau menyelamatkan semula projek perumahan terbengkalai adalah disebabkan berikut :

    • Kerajaan Negeri tiada ‘Locus Standy’ dan bukan pihak berkepentingan ke atas projek perumahan terbengkalai dan hanya bertindak sebagai ‘mediator’ bagi mendapatkan mekanisma penyelesaian ke arah pemulihan projek. Ini memandangkan Perjanjian Jual Beli (PJB) melibatkan kontrak antara kedua-dua pihak iaitu pembeli dan pemaju maka Kerajaan Negeri hanya memberi khidmat nasihat kepada pembeli untuk mengambil tindakan
    • Pemaju dikenalpasti telah dikenakan perintah penggulungan (bankrap) oleh Mahkamah dan seterusnya Mahkamah melantik pelikuidasi sebagai pentadbir syarikat pemaju (digulung). Pelikuidasi memerlukan masa yang panjang bagi mendapatkan semula maklumat projek dan pembeli terlibat serta kelulusan Mahkamah untuk setiap tugasan yang dilaksanakan. Ini seterusnya, pelikuidasi memerlukan persetujuan semua pihak terlibat bagi meneruskan usaha pemulihan projek ini termasuk pemuitang (creditor), pemegang gadaian (bridging loan), pembiayaan akhir (end financier), pemilik tanah (sekiranya berkaitan), pihak pembeli, dan pihak berkepentingan yang
    • Projek tersebut dikenalpasti sebagai projek defisit dan pemaju akan mengalami kerugian sekiranya projek diteruskan semula. Berlakunya pertambahan kos projek yang tinggi disebabkan oleh faktor kenaikan harga bahan binaan, kos infrastruktur yang terlalu tinggi dan sebagainya berbanding harga jualan rumah pada ketika itu. Terdapat juga, tuntutan kemajuan kerja yang dibuat oleh pemaju melebihi kemajuan sebenar ditapak.
    • Kegagalan pemaju terdahulu mematuhi syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan seperti tiada kelulusan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan daripada pihak Berkuasa Tempatan dan isu pengeluaran hakmilik individu yang masih belum diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemajuan dilaksanakan. Selain itu juga, terdapat pemaju yang mengabaikan isu-isu keselamatan dalam prosedur kelulusan yang ditetapkan seperti penggunaan bahan material yang tidak diluluskan atau mengikut spesifikasi yang
  3. Adakah rancangan pengambilan semula tanah terhadap projek ini yang tidak diteruskan oleh LPHS?

    Proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri bagi menentukan sama ada pelaksanaan pengambilan tanah akan dibuat ke atas projek terbengkalai atau sebaliknya. Namun perkara ini adalah diluar bidang kuasa LPHS untuk membuat keputusan tersebut. Ini kerana, pengambilan tanah ini akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri dalam proses pembayaran pampasan kepada mana-mana pihak berkepentingan ke atas projek terlibat. Sehubungan dengan itu, ‘Kajian Kemungkinan’ secara menyeluruh perlu dikenalpasti terlebih dahulu sama ada projek adalah berpotensi dipulihkan atau tidak berupaya dipulihkan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.