Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

30) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI DUSUN DURIAN TONGKAH MORIB

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini mengenai projek terbengkalai yang melibatkan pekerja Ladang Dusun Durian?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Era Permai Sdn Bhd selaku kontraktor telah mengadakan perjumpaan dengan wakil pemilik tanah untuk berunding mengenai cadangan penyelesaian projek Ladang Dusun Durian iaitu samada meneruskan pembelian dengan harga baru atau pemulangan semua bayaran (total refund). Sehingga kini berdasarkan maklumbalas pihak kontraktor hanya 30% pembeli bersetuju secara mulut untuk meneruskan projek ini. Oleh itu pihak kontraktor akan meneruskan projek tersebut sekiranya mencapai 90% persetujuan daripada pemilik tanah terbabit. Pemilik tanah juga diberi tempoh sehingga hujung bulan Disember 2022 untuk membuat keputusan.

     

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum, tanggungjawab Kerajaan Negeri telah selesai apabila semua 109 orang penduduk telah menerima hakmilik tanah individu. Manakala pihak kontraktor gagal membina dan menyiapkan rumah dalam tempoh yang ditetapkan menyebabkan projek perumahan ini terbengkalai.

     

    Pihak kontraktor telah mengemukakan cadangan pindaan harga sebanyak 2 kali terhadap Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor. Kerajaan Negeri tiada halangan terhadap cadangan harga rumah yang baru oleh pihak kontraktor namun ianya bersyarat dimana pihak kontraktor perlu mendapatkan persetujuan daripada 109 pemilik tanah. Memandangkan tiada kesepakatan diantara pemilik tanah dan pihak kontraktor mengenai cadangan pindaan tersebut, Kerajaan Negeri telah mencadangkan pihak kontraktor dan pemilik tanah untuk menyelesaikan perkara ini melalui saluran perundangan memandangkan kedua – dua pihak terikat dengan klausa – klausa yang termaktub dalam surat kuasa wakil (PA) dan perjanjian jual beli (S&P).

  2. Apakah tindakan penyelesaikan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri mengenai rumah terbengkalai ini dan bila akan selesai?

    Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji perlaksanaan penyelesaian alternatif yang mana ianya akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kerja pemulihan dapat ditumpukan oleh pihak jawatankuasa.

     

    Peringkat 1

    Memudahcara dan penyelesaian berkenaan dengan pembatalan surat kuasa   wakil (PA).

     

    Peringkat 2

    Mengenal pasti dan bekerjasama dengan pemaju penyelamat atau “white knight” yang berminat dan berkeupayaan.

     

    Setelah kedua-dua peringkat ini disempurnakan, barulah pembangunan projek dapat dilaksanakan di lapangan oleh pemaju yang dilantik. Pemaju projek yang dilantik akan disyaratkan untuk menawarkan unit kepada pembeli asal sekiranya mereka masih berminat untuk memiliki unit rumah di tapak tersebut atau ditawarkan pemulangan jumlah wang tuntutan yang telah dibayar kepada pihak pemaju asal.

Lampiran

Tiada Lampiran.