Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
218) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI DI KAMPUNG KOSKAN
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Ini adalah antara projek rumah terbengkalai di dalam DUN saya.apakah status terkini berhubung dengan kelulusan infra?
Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bermesyuarat pada 18 September 2019 melalui Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri No 49/21/2019 telah meluluskan dan bersetuju supaya Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor meneruskan pembinaan kemudahan infrastruktur luar di tapak Projek Pembesaran Kampung Koskan tanpa menunggu pemberimilikan kesemua lot supaya kemudahan asas tersebut dapat digunakan oleh penduduk sedia ada dengan menggunakan peruntukan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT).
-
Juga terdapat cadangan untuk projek pembesaran kampung dan juga projek pembesaran jalan utama di kampung terbabit.apakah status terkini?
Jalan yang dimaksudkan adalah Jalan Persekutuan FT1208 (Kampung Koskan). Cadangan menaiktaraf jalan Persekutuan FT1208 dari persimpangan Koskan ke bandar Sg. Buaya, Daerah Hulu Selangor telah diangkat ke Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan untuk projek pembesaran kampung dan pembesaran jalan utama di Kampung Koskan yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini tidak melibatkan skop kerja bagi pembesaran jalan utama di keseluruhan kampung terbabit. Skop kerja tertakluk dan terhad kepada penyediaan infrastruktur luar bagi 42 lot sahaja yang merangkumi kerja-kerja tanah, jalan, longkang, talian elektrik, saliran air, paip pembentungan, loji kumbahan dan sebuah bangunan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad. Manakala pemilik tanah bagi 42 lot tersebut bertanggungjawab untuk membina dan membaiki sendiri struktur rumah dengan kos dan perbelanjaan sendiri. Proses perolehan dijangka akan diadakan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor pada bulan Disember 2019. Manakala kerja-kerja ditapak oleh pihak kontraktor dijangkakan bermula pada tahun 2020.