Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
61) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi membantu memulihkan projek perumahan yang terbengkalai?
Kerajaan Negeri sememangnya amat prihatin ke atas nasib pembeli-pembeli
rumah yang terlibat dengan projek terbengkalai. Walaupun begitu Kerajaan
Negeri hanya boleh mengambil tindakan secara pentadbiran sahaja bagi
membantu pembeli-pembeli tersebut. Beberapa langkah proaktif diambil ke arah
membantu pembeli-pembeli projek terbengkalai tersebut bagi memahami situasi
yang mereka hadapi dan bertindak sebagai pemudah cara dalam menasihati
mereka bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menyalurkan aduan
tersebut kepada pihak yang berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT), bank dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Langkah-langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu
memulihkan projek terbengkalai adalah seperti berikut :
1) Penubuhan Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai yang
dipengerusikan oleh Y.B. Saari Sungib ADUN Hulu Kelang di mana
membantu untuk menilai semula sama ada projek terbengkalai tersebut
berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini terdapat 48 buah projek
dalam proses kajian Task Force.
2) Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan
yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang
terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada
sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.
3) LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit
bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek
tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan dengan tujuan mempercepatkan
kaedah pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima bagi
membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang minima
tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
4) Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur
pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang
sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstruktur semula pembiayaan
titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal
dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan
projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut
kepada KPKT untuk membuat keputusan.
5) Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung,
perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan diaturkan dari
masa ke semasa untuk menyemak sama ada LPHS boleh mencadangkan
mana-mana ‘liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa bagi
mempercepatkan pemulihan semula projek terbengkalai. Bagi projek-projek
yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima pula
perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima
terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang
terbengkalai.
6) Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS
akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek
tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu
ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu ingin diteruskan.
7) LPHS juga memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang
boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian
Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemaju
Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan
Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989. -
Apakah bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pembeli yang mengalami kerugian kerana terpaksa menanggung kos sampingan sebelum rumah tersebut siap sepenuhnya?
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi projek terbengkalai yang berdaftar di
bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pembeli yang
terlibat boleh mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai daripada
KPKT untuk meringankan kadar faedah bank. Manakala bagi projek terbengkalai
yang tidak berdaftar di bawah KPKT, pembeli terlibat boleh mendapatkan surat
pengesahan projek terbengkalai daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor (LPHS) untuk dipanjangkan kepada pihak bank bagi tujuan
penyusunan semula pembiayaan. -
Bagaimanakah bentuk tindakan yang dikenakan kepada pemaju yang gagal menyiapkan sesuatu projek dalam tempoh waktu yang ditetapkan selain menanggung kos kenaikan harga barang/faktor ekonomi merudum?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa
telah mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju perumahan yang projek
mereka terbengkalai dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah
tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk
disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dan turut dipaparkan dalam laman web Lembaga Perumahan Dan
Hartanah Selangor (LPHS) (senarai pemaju seperti dilampirkan mengikut
PBT/Daerah). Tujuannya ialah untuk membantu bakal pembeli memperolehi
maklumat terkini mengenai kredibiliti pemaju bagi mana-mana projek
perumahan yang ingin dibeli. Di samping itu nama-nama pemaju yang
disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa
pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk
pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah
seorang pemilik syer sahaja di bawah syarikat pemaju lain. Kerajaan Negeri juga
sebagai langkah terakhir akan mengambil tindakan perampasan tanah
sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965
seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah S.100 KTN dan pelanggaran
syarat di bawah S.129 KTN bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah
mereka terjamin.
Selain dari itu, pembeli juga berhak menuntut Denda Penyerahan Lewat Rumah
(LAD) daripada pemaju ekoran kegagalan pemaju menyiapkan rumah mengikut
tempoh yang telah ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli. Sekiranya pemaju
enggan membayar pampasan tersebut, pembeli boleh membawa kes mereka ke
Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan bagi mendapatkan hak mereka.