Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

248) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan tindakan PBT terhadap projek perumahan terbengkalai.

    Untuk makluman Yang Berhormat, antara tindakan-tindakan yang diambil PBT terhadap projek-projek terbengkalai di dalam kawasan pentadbiran PBT adalah seperti berikut:

     

    • Membuat inventori data projek terbengkalai dengan mendapatkan maklumat pemilikan, orang yang boleh dihubungi dan membuat semakan status kelulusan di PBT;

     

    • Membuat lawatan tapak untuk mengenalpasti status pembinaan, keadaan tapak dan mesyuarat secara berkala bersama pihak pemaju penyelamat dan wakil penduduk;

     

    • Mengatur perbincangan dengan perunding yang dilantik untuk menyelesaikan isu berkaitan kelulusan pelan-pelan perancangan, infrastruktur dan bangunan berdasarkan kes/ status semasa projek;

     

    • Mengeluarkan notis-notis pemberitahuan kepada pemilik dan PSP bagi mengambil tindakan berkaitan pemulihan, status kelulusan pembangunan, kebersihan dan yang berkaitan;

     

    • Melaporkan status projek di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPPT PBT) yang melibatkan bersama jabatan teknikal dalaman dan luaran PBT, LPHS serta KPKT bagi membincangkan punca masalah projek dan mengenalpasti cadangan kaedah penyelesaian yang bersesuaian;

     

    • Membuat pemantauan tapak dan merekodkan status kemajuan semasa berkaitan pelaksanaan pemulihan projek;

     

    • Membantu dalam menyegerakan kelulusan sehinggalah CCC dikeluarkan.
  2. Apakah tindakan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu mangsa projek rumah terbengkalai?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai dengan menyalurkan bantuan kepada pembeli secara pentadbiran sahaja seperti berikut:

     

     

    1. Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang berperanan sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan sebarang isu berkaitan pemulihan projek terbengkalai samaada untuk diselesaikan oleh pemaju / pemaju penyelamat, merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai samaada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri di peringkat Daerah, PBT serta Kerajaan Persekutuan. Keahlian JPPT adalah seperti berikut:

     

    Bil. Jabatan / Ahli Catatan
    1. Y.B. EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Pengerusi
    2. Y.B. Penasihat Undang-Undang Ahli Mesyuarat
    3. Pengarah Eksekutif, LPHS Ahli Mesyuarat
    4. Jabatan Kerja Raya Ahli Mesyuarat
    5. Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Ahli Mesyuarat
    6. Pejabat Tanah Dan Galian Selangor Ahli Mesyuarat
    7. Pejabat Tanah Dan Daerah Ahli Mesyuarat
    8. Pihak Berkuasa Tempatan Ahli Mesyuarat
    9. Panel Juru Ukur Bahan Ahli Mesyuarat
    10. Panel Jurutera Ahli Mesyuarat
    11. Panel Penilaian Ahli Mesyuarat
    12. Pemaju Ahli Mesyuarat
    13. Jabatan Insolvensi Malaysia / Pelikuidasi Swasta Ahli Mesyuarat
    14. Jawatankuasa Pembeli / Pembeli Rumah Ahli Mesyuarat
    15. Bank Ahli Mesyuarat

     

     

    1. Inisiatif LPHS dalam mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai dalam membantu pembeli berurusan dengan pihak pembiayaan pinjaman bagi menstrukturkan semula atau pengurangan ansuran bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.

     

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” tindakan yang perlu diambil oleh pihak terlibat adalah dengan membawa kes mereka ke mahkamah bagi menuntut hak masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.