Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
43) PROJEK RUMAH MAMPU MILIK
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pembinaan projek rumah Selangorku di PJS4?
Untuk makluman Yang Berhormat, status terkini pembinaan projek Rumah Selangorku di PJS4 yang dimajukan oleh Tetuan Tact Mission Sdn Bhd adalah sedang berjalan dengan lancar dan status kerja di tapak didapati teratur seperti mana yang dirancang. Berdasarkan laporan tapak yang dikemukakan oleh pemaju, kerja pembinaan secara keseluruhan telah mencapai 46% siap. Kerajaan Negeri melalui LPHS amat yakin akan sasaran siap pembinaan dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan pada bulan September 2020.
-
Apakah kategori pemohon yang layak untuk mendapatkan peluang memiliki kediaman di projek tersebut?
Kategori pemohon yang layak untuk mendapatkan peluang memiliki Rumah Selangorku Jenis D tertakluk kepada syarat Penawaran Terbuka kepada pemohon seperti berikut :
i. Warganegara Malaysia;
ii. Berumur 18 tahun dan ke atas;
iii. Pendapatan pemohon sehingga RM10,000 sebulan.
iv. Pemohon tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.
v. Pemohon yang telah memiliki rumah kos rendah (Jenis A) selama lima (5) tahun ke atas boleh memohon Rumah Selangorku Jenis B, C dan D dengan syarat mengemukakan surat permohonan bersekali dengan salinan Perjanjian Jual-Beli.
vi. Pemilikan rumah bukan berdasarkan isirumah tetapi berdasarkan individu;
vii. Permohonan pindah milik hanya dibenarkan selepas 5 tahun dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri;
viii. Pemohon perlu berdaftar di atas talian laman sesawang LPHS. -
Adakah rakyat di kawasan Taman Medan diberi keutamaan untuk pemilikan kediaman tersebut?
Kelayakan permohonan pemohon adalah tertakluk kepada syarat Penawaran Terbuka yang dinyatakan pada para (b) dan bukan faktor keutamaan kepada penduduk di kawasan Taman Medan sebagai kelayakan untuk mendapat kediaman tersebut.