Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
38) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan maklumat mengenai projek perumahan terbengkalai di negeri Selangor.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebanyak 42 projek perumahan melibatkan 16,592 unit telah disahkan sebagai projek perumahan swasta terbengkalai oleh Yang Berhormat Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 1 Jun 2021 selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan), 1966 (Akta 1118).
-
Bagaimanakah kerajaan negeri Selangor menangani masalah projek perumahan terbengkalai?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor dengan menyalurkan bantuan kepada pembeli walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja.
Beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui LPHS ke arah membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai, yang mana Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang mereka hadapi dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalah ini, antaranya seperti berikut:
- Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) Negeri Selangor yang berperanan bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa yang diurus setia oleh LPHS ini berperanan dalam merangka pelan pemulihan di samping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.
- Penubuhan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai di Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) yang berperanan untuk membincangkan dan memantau pemulihan projek terbengkalai yang dilaksanakan pemaju di peringkat PBT. Jawatankuasa ini berperanan sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan sebarang isu berkaitan pemulihan projek terbengkalai seperti pindaan pelan pembangunan.
- Inisiatif LPHS dalam mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai dalam membantu pembeli berurusan dengan pihak pembiayaan pinjaman bagi menstrukturkan semula atau mengurangkan ansuran bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.
- LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.