Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

20) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI DI BUKIT PANDAN DUN TERATAI

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status projek tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek terbengkalai yang dikenal pasti di Bukit
    Pandan merupakan dua (2) blok Kondominium 15 tingkat yang dikenali Nusa Mewah
    Villa Kondominium yang dibangunkan oleh Tetuan Mudi Angkasa Development Sdn
    Bhd. Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemaju
    Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan
    Kerajaan Tempatan dengan no. lesen pemajuan: 8255/06-2006/718 dan di bawah
    pemantauan KPKT.
    Pembangunan projek ini melibatkan pembinaan 360 unit rumah yang dijual pada harga
    jualan RM 132,000.00 seunit dan semua unit telah terjual. Berdasarkan perjanjian jualbeli yang ditandatangani pembeli pada tahun 2001, tempoh siap pembinaan adalah
    selama 36 bulan daripada tarikh perjanjian yang mana sepatutnya siap pada
    pertengahan tahun 2004. Namun demikian, projek ini tidak dapat dilaksanakan mengikut
    jadual pembangunan yang dirancang disebabkan oleh kenaikan kos pembinaan.
    Dengan itu, kontraktor asal yang telah dilantik telah ditamatkan kontrak pada tahun 2007
    yang mana ketika itu kerja pembinaan telah mencapai 60 % siap. Dalam usaha
    meneruskan usaha pemulihan projek tersebut, pemaju telah bersetuju melantik
    kontraktor baru iaitu Passlink Sdn Bhd. pada 1 Ogos 2007 dan dijangka siap pada
    pertengahan tahun 2008.
    Walau bagaimanapun projek berkenaan masih belum dapat dilaksanakan semula
    sehinggalah pada 13 Mac 2008, Mahkamah Tinggi mengenakan perintah penggulungan
    ke atas pemaju Mudi Angkasa Development Sdn Bhd dan Mahkamah melantik Ferrier
    Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi (liquidator). Sehingga kini projek masih
    belum dapat dipulihkan dan masih terbengkalai.

  2. Adakah projek tersebut diambil alih oleh syarikat lain? Jika ada sila berikan nama syarikat dan latar belakangnya

    Pada masa ini, pelikuidasi iaitu Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd memaklumkan bahawa
    pihaknya sedang berusaha memulihkan semula projek ini berdasarkan proses
    penstrukturan semula syarikat di bawah peruntukan Seksyen 176 Akta Syarikat 1965.
    Jangkaan masa untuk mendapatkan perintah Mahkamah tersebut adalah selama 2
    bulan dan seterusnya akan mengenal pasti penyelamat bagi tujuan memulihkan projek
    ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.