Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
133) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh pemaju bagi Projek Taman Sungai Yu Indah, Kampung Sungai Yu sehingga pembeli merana menunggu sekian lama?
Untuk makluman Yang Berhormat, Taman Sungai Yu Indah mempunyai 100%
pembangunan Perumahan Teres Kos Rendah. Pada awal perancangan
pembangunan, pemaju bersedia untuk membangunkan keseluruhan pembangunan
499 unit Rumah Teres Kos Rendah dan 11 unit kedai ini tanpa berfasa.
Namun begitu setelah penjualan dibuat pemaju menghadapi pelbagai masalah. Di
antara masalah tersebut ialah ada pembeli tidak layak untuk membuat pinjaman dan
sesetengah pembeli mengambil langkah tunggu dan lihat iaitu dengan hanya
membayar 10% dan tidak meneruskan pembayaran sehingga projek benar-benar
berjaya. Ini menyebabkan pemaju mempunyai masalah aliran tunai dalam
meneruskan projek ini.
Kesulitan ini ditambah dengan kelembapan jualan dan kekurangan pembeli. Pemaju
terpaksa menyiapkan kerja-kerja infrastruktur dahulu seperti pembersihan dan
meratakan tapak serta penyediaan jalan masuk yang sempurna bagi menarik
perhatian pembeli seterusnya untuk meningkatkan jualan. Namun usaha yang
dijalankan gagal menarik perhatian orang ramai.
Sehubungan dengan itu, pemaju terpaksa memecahkan cadangan pembangunan
kepada dua fasa. Cadangan Fasa 1 meliputi 227 unit Rumah Teres Kos Rendah dan
11 unit kedai manakala Fasa 2 meliputi pembangunan 272 unit Rumah Teres Kos
Rendah. Di dalam usaha untuk menyiapkan pembangunan agar tidak terbengkalai,
pemaju cuba untuk menyiapkan dahulu Fasa 1 dan kesemua 49 pembeli di Fasa 2
cuba dipindahkan ke Fasa 1.
Sambutan yang diterima juga tidak memberangsangkan. Ada di antara pembeli Fasa
2 tidak mahu menukar unit ke Fasa 1 malah ada di antara mereka mahu
membatalkan perjanjian jual beli. Ini memberi tekanan kepada pemaju yang juga
mempunyai masalah pusingan modal mereka. -
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini dan bilakah dijangka perumahan ini dapat disiapkan?
Untuk makluman Yang Berhormat, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)
sedang mengemukakan cadangan serta alternatif kepada Kerajaan Negeri bagi
membantu mengatasi masalah projek perumahan ini daripada terbengkalai :
i. Memohon meminda harga 227 unit Rumah Teres Kos Rendah (RTKR) di
dalam Fasa 1 daripada RM35,000.00 kepada 42,000.00. dengan adanya
pertambahan harga ini, pemaju dapat menyediakan keadaan struktur binaan
yang lebih baik bagi Rumah Teres Kos Rendah tersebut dan ianya
dijangkakan akan dapat merangsangkan penjualan dengan lebih baik.
ii. Memohon meminda 272 unit Rumah Teres Kos Rendah (RTKR) di dalam
Fasa 2 kepada Rumah Teres Kos Sederhana Rendah (RTKSR). Ini adalah
berdasarkan faktor-faktor berikut :
a. Sambutan yang diberikan bagi Rumah Teres Kos Rendah (RTKR) di
kawasan tersebut adalah tidak menggalakkan. Ini dapat dibuktikan
yang mana sehingga kini hanya 130 unit RTKR dapat dijual daripada
499 unit ditawarkan.
b. Kebanyakan permintaan juga hanya kepada spesifikasi kediaman
yang lebih tinggi sedikit daripada RTKR. Kebanyakan pembeli sediada
juga mahukan pengubahsuaian RTKR yang telah dibeli.
c. Selain dapat menyediakan suasana kediaman yang lebih menarik dan
efisyen, ianya juga dijangka akan dapat merancakkan lagi penjualan
baki unit-unit lain dengan harga masih lagi berpatutan berbanding
dengan RTKR.
iii. Pemaju bersama juruperunding sedang menyediakan pelan pindaan untuk
dikemukakan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor untuk kelulusan. -
Apakah Kerajaan Negeri menyediakan dana untuk membantu pembeli-pembeli membayar sewa rumah disebabkan projek perumahan yang mereka beli terbengkalai dan pada waktu yang sama pembeli-pembeli sudah mula membuat pembayaran di bank-bank?
Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan Negeri tidak
memperuntukkan sebarang dana untuk membantu pembeli-pembeli untuk membayar
sewa rumah yang disebabkan projek perumahan yang mereka beli terbengkalai.