Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
200) PROJEK PERUMAHAN PENJAWAT AWAM 1 MALAYSIA (PPA1M)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah dan lokasi projek PPA1M yang telah diluluskan dan sedang dibina di Selangor
Untuk makluman Yang Berhormat, hanya terdapat satu projek PPA1M sahaja yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri iaitu pada 1 Mac 2017. Projek tersebut akan dibangunkan oleh Tetuan Ageless Land Sdn. Bhd. dan Ageless Hill Sdn. Bhd. yang terdiri daripada 1,064 unit rumah PPA1M dan 266 unit Rumah Selangorku di kawasan Semenyih Daerah Hulu Langat. Status terkini projek tersebut dalam peringkat mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kajang.
-
Nyatakan jumlah permohonan projek PPA1M yang tidak diluluskan untuk dibina dan sebabnya
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini terdapat 11 permohonan projek PPA1M yang telah diterima oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Kesemua projek tersebut telah pun dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku yang dipengerusikan oleh Y.B Dato’ Iskandar Bin Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri Selangor serta dihadiri oleh beberapa wakil daripada agensi seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Pejabat Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Secara dasarnya, kesemua permohonan cadangan pembangunan PPA1M telah dipersetujui dan pemohon perlu mematuhi beberapa syarat-syarat teknikal sebelum permohonan tersebut di bawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.
Antara syarat-syarat teknikal yang perlu di patuhi oleh pemohon dalam pembangunan PPA1M adalah penyediaan Kajian Impak Trafik dan Lalulintas (T.I.A) dan Kajian Impak Sosial (S.I.A). Kajian ini diperlukan adalah disebabkan pemohon memohon untuk menaikkan kepadatan (densiti) melebihi yang telah ditetapkan/diwartakan di dalam Rancangan Tempatan.
Selain itu, ada tapak cadangan yang terlibat di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan ianya perlu mendapatkan ulasan daripada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Tanah Tinggi dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) terlebih dahulu sebelum keputusan akhir dapat dimuktamadkan di peringkat Kebenaran Merancang oleh PBT.
-
Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk meningkatkan lagi pembangunan projek seperti ini di Negeri Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Unit Projek Penjawat Awam 1 Malaysia, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan dalam melaksanakan projek PPA1M ini. Antara perancangan yang sedang dan akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah dengan merangka satu dasar yang jelas mengenai pembangunan PPA1M yang akan dilaksanakan di Negeri Selangor. Ini termasuklah dari segi penyediaan komponen rumah PPA1M dan Rumah Selangorku di dalam sesuatu pembangunan. Memandangkan projek PPA1M ini masih baharu, kebanyakan pemaju masih belum memahami kaedah/ prosedur dalam melaksanakan projek PPA1M. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan satu kaedah/ proses kerja bagi permohonan pembangunan PPA1M ini agar ianya dapat dilaksanakan dengan lancar serta pemaju dapat memulakan projek dengan segera.
Selain itu, untuk meningkatkan lagi pembangunan PPA1M di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri membenarkan penggunaan kepadatan (densiti) sehingga 120 unit/ekar namun ianya tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan sokongan daripada jabatan teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan.