Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
55) PROJEK PERUMAHAN BUKIT BOTAK
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan Negeri Selangor bagi membolehkan penduduk-penduduk asal Bukit Botak mampu membuat pinjaman bank dan akhirnya memiliki rumah yang telah lama diidamkan?
- Seperti mana Y.Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan penyelesaian baru bagi penempatan semula setinggan Bukit Botak yang melibatkan seramai 1,406 penduduk yang mana mereka akan ditawarkan rumah semi-D satu tingkat pada harga RM99,000.00 seunit berbanding dengan harga pasaran sekitar RM180,000.00-RM200,000.00 seunit. Bagi memastikan kesemua penduduk setinggan Bukit Botak yang memberi persetujuan dengan cadangan tersebut memperoleh pinjaman perumahan dan akhirnya memiliki rumah tersebut, Kerajaan Negeri akan mengaturkan satu perjumpaan di antara penduduk dengan bank-bank terlibat bagi menyelesaikan masalah mendapatkan pinjaman perumahan tersebut. Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti beberapa bank yang bersedia memberikan komitmen mereka dalam memberi bantuan pinjaman perumahan kepada mereka yang telah lanjut umur atau berpendapatan rendah. Satu skim khas yang dikenali sebagai Skim Jaminan Kredit Perumahan telah diperkenalkan di mana pinjaman perumahan diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai bukti pendapatan bulanan yang tetap tanpa mengira jenis pekerjaan. Menerusi skim ini, tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga peminjam berusia 65 tahun. Di bawah skim ini, pinjaman 2 generasi boleh dilakukan untuk memanjangkan tempoh pembayaran dan tempoh pembayaran akan dikira berdasarkan usia anak/pewaris sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas dan tiada caj/yuran yang dikenakan kepada peminjam. Secara langsung, ianya akan membantu pembeli memperoleh peluang yang lebih besar untuk memiliki rumah tersebut di samping mengurangkan bebanan dalam membayar semula pinjaman perumahan yang dibuat.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyediakan opsyen bagi penduduk yang gagal atau tidak layak untuk memperolehi pinjaman perumahan yang telah ditawarkan oleh pihak bank. Untuk golongan ini, Kerajaan Negeri bersetuju menawarkan bayaran tunai kepada penduduk berjumlah lebih kurang RM71,000 iaitu perbezaan harga jaminan PKNS sebanyak RM170,000.00 dengan harga kos pembinaan sebanyak RM99,000.00 dan akan dibayar setelah Kerajaan Negeri menerima semua hasil jualan. Dengan bayaran tersebut, penduduk terlibat boleh membeli/memiliki rumah lain pada harga yang mampu dibeli di pasaran
-
Apakah jaminan kerajaan Negeri Selangor bahawa projek ini akan berjalan mengikut jadual dan layak diduduki pada Mac 2012?
- Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan projek tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual yang dirancang. Bagi memastikan projek ini disiapkan seperti yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Negeri, satu mesyuarat berkala telah diaturkan setiap sebulan sekali dan dipengerusikan oleh saya sendiri. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri dengan dibantu oleh PKNS sebagai pengurus projek telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan Kerajaan dan agensi berkaitan antaranya Pejabat EXCO, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi menyelaras segala tindakan yang akan dilaksanakan dan seterusnya memastikan pembangunan projek ini berjalan dengan
Buat masa ini, Kerajaan Negeri dalam proses akhir pengambilan tanah Bukit Botak dan akan mewartakan tanah tersebut sebagai tanah kerajaan bagi tujuan membangunkan semula penempatan setinggan Bukit Botak. Dijangka pada awal bulan Mei 2010, tender terbuka akan dibuat kepada mana-mana syarikat/kontraktor yang berminat untuk memajukan projek ini.
Untuk mencapai matlamat pembangunan tersebut, Kerajaan Negeri akan memastikan proses pemilihan syarikat/kontraktor yang dilantik bagi meneruskan pembangunan projek ini benar-benar berwibawa dan berkaliber. Sehubungan dengan itu, penilaian secara menyeluruh ke atas keupayaan syarikat sama ada dari segi kewangan, aset, pengalaman kerja dan jaminan syarikat terhadap kerajaan negeri akan diberi keutamaan. Langkah ini bagi mengelakkan dari berlakunya projek terbengkalai buat kali kedua dan seterusnya merugikan kerajaan dan rakyat.