Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

203) PROJEK PERUMAHAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan projek perumahan yang dibina di kawasan-kawasan berbahaya seperti cerun dan lereng bukit?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri memandang serius akan pembangunan-pembangunan perumahan yang dibina di kawasan- kawasan berbahaya seperti cerun dan lereng bukit. Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor telah mengeluarkan satu garis panduan yang dinamakan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi Negeri Selangor yang telah  diluluskan  oleh MMKN 11/2010 pada 24 Mac 2010.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, setiap cadangan pembangunan yang terlibat dengan kawasan cerun dan lereng bukit yang dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor (JTPKSAS) terlebih dahulu sebelum sebarang permohonan Kebenaran Merancang diproses oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Fungsi dan tanggungjawab Jawatankuasa ini adalah membuat keputusan/nasihat mengenai had pembangunan yang boleh dilaksanakan, menilai permohonan dan kesesuaian pembangunan, mengemukakan syor-syor berkaitan kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri atau Pihak Berkuasa Negeri (melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) dan mengemukakan keputusan syor-syor kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

     

    Bagi projek-projek perumahan sedia ada di kawasan cerun dan lereng bukit, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan dari berlakunya tanah runtuh dan sebagainya seperti memastikan pembangunan terancang dilaksanakan dengan baik, menguatkuasakan undang-undang, menanam semula pokok-pokok, membina sistem perparitan yang efisen, memastikan penyelenggaraan parit dan jalan raya dilaksanakan mengikut jadual masanya serta menyelia / memantau pemaju semasa pembinaan dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.