Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
288) PROJEK PEMBINAAN PAKEJ A SKIM JAMINAN AIR MENTAH (SJAM)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Merujuk kepada Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas INFRAGRO ke-15 tahun 2024 berhubung Projek Pembinaan Pakej A Skim Jaminan Air Mentah (SJAM), apakah status semasa pelaksanaan projek tersebut?
Status terkini setakat 20 Jun 2024, pelaksanaan Pembinaan Pakej A Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah mendahului jadual sebanyak 0.43% di mana kemajuan kerja di tapak mencapai 83.65% berbanding jadual sebanyak 83.22%. Pihak kontraktor yang dilantik telah menunjukkan kesungguhan untuk menyiapkan kerja-kerja di tapak mengikut jadual yang ditetapkan.
-
Berdasarkan status semasa, adakah projek tersebut akan dapat disiapkan menjelang tarikh jangka siap yang ditetapkan iaitu 31 Ogos 2024?
Berdasarkan status semasa, kerja-kerja di tapak dijadualkan akan siap pada bulan September 2024. Namun demikian, Pengujian dan Pentauliahan (Testing and Commissioning ) adalah tertakluk kepada sambungan bekalan elektrik dari TNB yang dijangkakan pertengahan bulan September 2024.
-
Apakah jaminan Kerajaan Negeri dalam memastikan projek ini tidak selesai lewat atau ditangguhkan berulang kali?
Berdasarkan kepada status kemajuan sedia ada, Kerajaan Negeri mendapati tiada sebarang kekangan atau halangan di tapak kerja yang boleh menyumbang kepada kelewatan kontraktor menyiapkan kerja sekiranya tiada kejadian di luar jangka. Kerajaan Negeri melaksanakan pemantauan berkala dalam usaha untuk memastikan kerja-kerja di tapak dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada bulan September 2024. Kerajaan Negeri telah memaklumkan kontraktor bahawa tiada lagi kelulusan Lanjutan Masa akan dipertimbangkan sekiranya kelewatan tersebut jelas disebabkan oleh pihak kontraktor sendiri sebaliknya Gantirugi Tertentu pada kadar yang telah ditetapkan untuk tempoh sepanjang kerja-kerja tersebut tidak disiapkan akan dikenakan selaras dengan peruntukan yang telah dipersetujui di dalam Condition of Contract.