Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

243) PROJEK PEMBINAAN LOJI RAWATAN AIR (LRA) LABOHAN DAGANG

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pembinaan LRA Labohan Dagang?

    Kerajaan Negeri Selangor sebagai Kerajaan yang bertanggung jawab dan Peduli Rakyat, telah meluluskan pembangunan LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang dengan kos sebanyak RM800 juta bagi memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa mencukupi. Kos RM800 juta tadi adalah meliputi pembangunan loji rawatan, pengambilan tanah, pemasangan rangkaian paip air dan pembinaan kolam utama.

    Pembangunan 2 loji baru ini adalah selaras dengan polisi Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan air di hiliran sebagai sumber air terawat seperti mana yang telah dilaksanakan di ORS Sungai Labu dan HORAS.

    Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.

    Selain dari itu, pembangunan kolam takungan sebagai sumber air terawat untuk menakung air larian di hiliran sungai memberi kebaikan antaranya:-

    • Mengurangkan penggantungan sepenuhnya kepada pelepasan air dari empangan;
    • Mengelakkan pembaziran air yang dianugerahkan oleh Allah melalui hujan dengan pengurusan sumber air yang lestari;
    • Mengelakkan risiko banjir di penempatan kawasan hiliran sungai;
    • pembekalan air mentah berterusan walaupun berlaku pencemaran sungai; dan
    • menjadikan kawasan rekreasi dan tarikan pelancong seperti di Marina Baraj,

    Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang menggunakan kaedah perolehan tender terbuka bagi pelantikan kontraktor. Loji ini akan dibina di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dengan kapasiti sebanyak 200 JLH.

    Dalam melaksanakan projek ini, ia telah disusun kepada lima (5) pakej seperti di dalam Lampiran.

    Kerja-kerja di tapak telah bermula semenjak 14 September 2016 melibatkan pembersihan tapak dan kerja-kerja pembinaan dijangka mengikut jadual yang telah ditetapkan.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan pelaksanaan projek tersebut mengikut jadual?

    Dalam usaha untuk memastikan kerja-kerja pembinaan LRA Labohan Dagang berjalan lancar dan mengikut jadual, Kerajaan Negeri mengadakan pemantauan rapi bermula dari pelantikan kontraktor bagi setiap pakej kerja yang dibuat secara tender terbuka. Melalui tender terbuka ini, Kerajaan Negeri dapat menilai setiap tawaran yang dibuat dan menimbangkan kontraktor yang benar-benar berpengalaman serta berkelayakan dari segi teknikal dan berkeupayaan dari segi kewangan dilantik sebagai kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan ini.

    Selepas pelantikan kontraktor dimuktamadkan, pemantauan kerja ditapak dibuat secara rapi. Mesyuarat tapak di adakan setiap bulan dan di dalam mesyuarat ini sebarang masalah yang timbul akan diberikan perhatian untuk diselesaikan supaya isu yang timbul itu tidak menjejaskan perjalanan pelaksanaaan projek,

    Kerajaan Negeri juga memantau pelaksanaan projek dengan memastikan kontraktor mengemukakan Laporan Kemajuan Kerja Mingguan di mana melalui laporan ini, Kerajaan Negeri dapat mengesan sebarang masalah yang dihadapi oleh pihak kontraktor.

Lampiran

Tiada Lampiran.