Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

1) PROJEK PEMBINAAN LEBUHRAYA PANTAI BARAT (LPB)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila perjelaskan apakah status terkini pembinaan LPB ?

    Projek pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (LPB) masih tertangguh disebabkan beberapa faktor seperti proses penyediaan pelan pengambilan balik tanah (Seksyen 4) yang masih dilaksanakan secara berperingkat walaupun terdapat sebahagiannya telah memasuki proses pewartaan berdasarkan kepada Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.

  2. Sila nyatakan apakah kekangan utama yang menyebabkan proses pembinaannya masih tertangguh walaupun sudah berulang kali diwar-warkan ?

    Kekangan utama pembinaan projek ini ialah condition precedent (CP) yang telah dikenakan kepada pihak West Coast Expressway Sdn. Bhd. setelah perjanjian telah ditandatangani pada bulan Januari 2013. Antara syarat-syarat di bawah CP yang dikenakan ialah pengesahan bukti pembiayaan dan mengadakan bancian / tinjauan umum (public opinion survey) mengenai cadangan pembinaan lebuh raya ini. Setelah semua keperluan ini dipenuhi, perjanjian konsesi yang telah ditandatangani dapat dikuatkuasakan. Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Negeri dengan tegas telah menyatakan pendirian bahawa beberapa syarat perlu dipatuhi dalam pelaksanaan projek LPB iaitu :

    • Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
    • Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
    • Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal setelah permohonan di bawah Seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat.
  3. Sila nyatakan sejauh manakah impak projek LPB terhadap pembangunan ekonomi Selangor dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang ?

    Pembinaan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat telah dikenalpasti oleh pihak LLM bertujuan menampung keperluan trafik semasa dan akan datang. Ianya juga bertujuan untuk mengurangkan kesesakan trafik di lebuhraya sedia ada yang mengalami kesesakan pada waktu puncak dan musim perayaan serta menyediakan jalan hubungan di antara lebuhraya-lebuhraya sedia ada untuk kemudahan pengguna.

    Pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat ini akan membantu perkembangan sosio-ekonomi serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui pertumbuhan kawasan perindustrian dan bandar-bandar baru serta pembangunan penempatan baru terutama di sepanjang koridor lebuh raya. Ianya akan merangsang pembangunan sosio ekonomi sepanjang jajaran koridor di Negeri Selangor. Projek ini juga akan memberikan limpahan pembangunan kepada penduduk sekitarnya dan nilai hartanah di sepanjang jajaran lebuh raya juga akan naik mendadak.

Lampiran

Tiada Lampiran.