Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
198) PROJEK PEMBESARAN KG TAMAN DESA BUKIT BUJANG
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah cadangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu projek pembesaran kampung Taman Desa Bukit Bujang, Mukim Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu yang hampir 95% siap?
Permohonan ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan ke atas tanah seluas 66.77 hektar (165.86 ekar) bagi tujuan Projek Pembesaran Kampung Ampang Pecah dikenali sebagai Taman Desa Bukit Bujang Kuala Kubu Baharu seperti berikut:-
- MMKN Ke 12/1998 pada 29 April 1998
- MMKN Ke 8/2001 pada 4 April 2001
- MMKN Ke 29/2001 pada 6 November 2002
Kontraktor yang dilantik iaitu ARK Development Sdn Bhd telah membangunkan sebahagian tanah yang telah diluluskan dengan membina 369 unit rumah di kawasan yang dikenali sebagai fasa 1 dengan keluasan lebih kurang 75,230 ekar. Dari jumlah tersebut sebanyak 276 unit telah dikeluarkan hak milik, manakala 93 lagi masih belum dikeluarkan hak milik dan masih dalam pembinaan sehingga mencapai 95% siap. Dari jumlah tersebut 242 unit rumah sudah diduduki dan telah dikeluarkan sijil layak menduduki.
Permohonan pemberimilikan bagi 93 unit telah dikemukakan kepada EXCO- MTES pada 3 April 2013. EXCO-MTES telah memutuskan supaya pemberimilikan diproses secara tender.
Pada masa ini bahagian Task Force dan penyelidikan Pejabat Tanah Galian Negeri Selangor sedang menyediakan kertas ringkasan untuk diangkat ke mesyuarat EXCO-MTES bagi menentukan kaedah terbaik penyelesaian projek ini pada masa akan datang.