Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

142) PROJEK PEMBESARAN KAMPUNG

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan projek pembesaran kampung yang diluluskan sebelum tahun 2008 dan kontraktor asalnya masih membangunkan projek tersebut pada tahun 2015.

    PEJABAT DAERAH DAN TANAH HULU SELANGOR

    i) Tetuan ARK Development Sdn. Bhd.

    ii) Tetuan Ikatan Bendera Sdn. Bhd.

  2. Nyatakan dasar premium tanah yang diamal oleh Kerajaan Negeri kepada pembeli lot tanah projek pembesaran kampung pada tahun 2013, 2014 dan 2015.

    Perlaksanaan pembangunan Projek Pembesaran Kampung adalah bertujuan untuk membantu masyarakat setempat terutamanya generasi baru di sesebuah kampung agar memiliki rumah kediaman sendiri pada kadar yang berpatutan dan mampu milik. Hal ini akan menggalakkan generasi baru untuk terus tinggal menetap di kawasan yang sama dan membangunkan tanah kerajaan yang masih kosong dan terbiar sebagai sebuah penempatan baru yang lebih tersusun dan sistematik. Skim ini adalah lebih baik berbanding pemberimilikan tanah kosong secara individu.

    Walau bagaimanapun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 33/2008 melalui Kertas EXCO MTES No: 4/28/2008 telah membuat keputusan tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah dan pertukaran nama peserta bagi Projek Pembesaran Kampung di seluruh Negeri Selangor.

    Manakala dari segi penetapan kadar premium RM0.50 sen sekaki persegi telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor khas bagi tujuan konsep Projek Pembesaran Kampung. Kadar tersebut adalah untuk mengelakkan spekulasi penetapan harga rumah yang telah dipersetujui sama ada akan berubah atau naik jika premium terlalu tinggi.

     

    Pengenaan premium yang rendah akan memastikan kadar harga rumah adalah mampu milik oleh generasi baru yang layak memiliki rumah. Skim Projek Pembesaran Kampung ini adalah berbeza berbanding projek pembangunan yang dimajukan oleh pihak pemaju lain. Di mana pemaju biasanya akan dikenakan kadar bayaran premium mengikut harga pasaran dan penetapan harga rumah adalah tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

    Namun begitu PTD Hulu Selangor ada juga mengemukakan semula permohonan perakuan nama dan permohonan kontraktor untuk meneruskan projek sedia ada kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 2012 hingga 2015 iaitu permohonan daripada Tetuan ARK Development Sdn. Bhd. dan Tetuan Ikatan Bendera. Sehingga kini Tetuan ARK Development Sdn. Bhd. telah memperolehi keputusan pada tahun 2014 terhadap baki rumah kediaman yang dibangunkan dengan dikenakan premium mengikut harga pasaran pada kadar premium lebih kurang RM17.00 sekaki persegi.

    Di mana kadar premium tanah baru bagi selot tapak berukuran 3200 hingga 3400 kaki persegi berjumlah RM53,500 hingga RM57,000. Kesan peningkatan premium ini menyebabkan pihak pemaju telah menaikkan harga jualan rumah kepada RM250,000 seunit dan memberi kesan kepada pembeli tempatan yang telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju terpaksa dibatalkan kerana tidak layak. Akhirnya pemaju terpaksa membuka pembelian kepada orang luar untuk mendapatkan pembeli yang layak.

  3. Status terkini Projek Pembesaran Kampung Rasa (Desa Rening Jaya) Daerah Hulu Selangor yang melibatkan 287 unit rumah yang diluluskan oleh MMKN pada 1 Mac 2000.

    Keseluruhan Projek Pembesaran Kampung Rasa (Desa Rening Jaya) yang melibatkan 287 unit rumah yang diluluskan oleh MMKN pada 1 Mac 2000 telah ada hakmilik, berjaya dilaksanakan dan diduduki oleh pemohon.

    Pihak kontraktor Tetuan Ikatan Bendera Sdn. Bhd. telah berjaya melaksanakan projek tersebut. Terkini pihak kontraktor telah mengemukakan permohonan untuk meneruskan baki ke atas tapak yang masih belum dibangunkan. PTD Hulu Selangor sedang menyediakan Kertas Ringkasan untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.