Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

220) PROJEK PEMBERSIHAN SUNGAI KLANG

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan syarikat-syarikat yang terlibat dalam tender Projek Pembersihan Sungai Klang

    Syarikat-syarikat yang terlibat pada awalnya adalah TSS-MAKO Sdn. Bhd, GJA Engineering Sdn. Bhd., dan konsortium Wessex Water-I Bhd. Sdn. Bhd. Tiga syarikat ini telah dipilih daripada 13 yang menghantar business proposal kepada Kerajaan Negeri Selangor.

  2. Sejauh manakah pembangunan Sungai Klang dapat menciptakan peluang pekerjaan dan sumber ekonomi kepada warga negeri Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor?

    Projek Sungai Klang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mengguna pakai konsep Public/Private Partnership (PPP) dan Private Funding Initiative (PFI). Di dalam konteks Kerajaan Negeri, projek-projek perniagaan atau pembangunan akan dilaksanakan terlebih dahulu untuk mendapatkan pulangan tunai dan bukan tunai untuk membiayai projek tersebut.

    Sumbangan jangka pendek dan jangka panjang projek tersebut kepada perkembangan ekonomi negeri adalah dari segi:-

    • Menambahkan pelaburan swasta di dalam projek-projek spesifik untuk pemuliharaan Sungai Klang atau projek-projek yang akan digunakan untuk membiayai Projek Sungai Klang
    • ‘Multiplier effect’ daripada pelaburan-pelaburan yang terbabit
    • Menambahkan peluang pekerjaan terutamanya di dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan
    • Mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan indah di sepanjang Sungai Klang dan meningkatkan nilai hartanah dan potensi pelancongan
    • Menyelesaikan masalah-masalah pencerobohan tanah kerajaan, setinggan, kilang-kilang haram dan masalah setempat yang membantutkan pembangunan dan kelancaran ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan Projek Sungai Klang ini
  3. Apakah bentuk kerjasama yang diwujudkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bagi menjayakan Projek Pembersihan Sungai Klang?

    Jawatankuasa Greater Kuala Lumpur/Klang Valley telah dibentuk di bawah Program Transformasi Ekonomi Kerajaan Persekutuan, iaitu inisiatif PEMANDU. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah pun dijemput sebagai ahli jawatankuasa tersebut melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Dato’ Menteri Besar. Salah satu daripada projek Program Transformasi Ekonomi adalah “River of Life”, iaitu pembersihan Sungai Kelang di kawasan Kuala Lumpur. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diberi mandat untuk mengetuai projek “River of Life” di

    Kuala Lumpur. Satu jawatankuasa kerja dicadangkan untuk dibentuk bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kerajaan Negeri Selangor supaya cadangan dari kedua-dua kerajaan dapat dikongsi dan dilaksanakan bersama. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor akan memberi pembentangan kepada DBKL mengenai cadangannya untuk memulihkan Sungai Kelang di kawasan Selangor. Kerjasama antara kedua-dua kerajaan adalah penting supaya terdapat kerja holistik, khasnya kerana Sungai Kelang bertambah kotor setelah mengalir melalui kawasan Kuala Lumpur.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.